MCA akan mengetengahkan calon muda yang terdiri daripada anak tempatan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kata Setiausaha Agungnya Datuk Chong Sin Woon.

Beliau berkata MCA mempunyai calon berpendidikan serta berpengalaman terbaik dan pihaknya berharap dapat memuktamadkan jumlah kerusi yang bakal ditandingi dalam masa terdekat.

Katanya MCA telah berbincang dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri untuk pembahagian kerusi dan berharap tiada pertembungan berlaku dalam kalangan calon gabungan itu.

"Kita punyai muka baharu untuk PRN kali ini, bergantung kepada berapa banyak kerusi yang kita dapat dan kemudian kita akan memutuskan siapa yang patut mewakili kita sebagai wakil BN," katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Politik dan Pilihan Raya MCA Sabah di sini pada Khamis.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, MCA bertanding di DUN Luyang dan DUN Kepayan namun parti itu tewas di kedua-dua kerusi.

Chong berkata MCA sudah bertapak hampir 30 tahun di Sabah, justeru parti itu tidak lagi mahu dilihat sebagai sebuah parti dari Semenanjung.

"Apa (yang) penting, parti ini boleh berkhidmat untuk rakyat dan diterajui pemimpin tempatan. Kita mahu pemimpin tempatan menerajui MCA Sabah untuk kepentingan orang Sabah kerana kita mahu rakyat di negeri ini dapat menikmati pembangunan hasil daripada sumber asli di Sabah," katanya.

-- BERNAMA