PRN Sabah: ‘Pening kepala mahu pilih, calon PN yang hebat terlalu ramai’ - Muhyiddin

Muhyiddin menegaskan, isu tiga serangkai membabitkan air, elektrik dan jalan raya akan diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga tahun jika gabungan itu diberi mandat kelak. - Foto Sinar Harian
PENAMPANG: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pemilihan calon bagi gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 sebagai antara proses paling mencabar buat kepimpinan parti.
Ringkasan AI
- Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui pemilihan calon PN Sabah untuk PRN ke-17 amat mencabar kerana ramai calon berpotensi dan berkualiti tinggi.
- Semua calon telah melalui tapisan ketat oleh SPRM, PDRM dan LHDN bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang rekod jenayah atau isu undang-undang.
- PN berjanji menyelesaikan isu air, elektrik dan jalan raya di Sabah dalam tempoh dua hingga tiga tahun jika diberi mandat memerintah.
Muhyiddin berkata, setiap calon yang disenaraikan telah melalui saringan ketat melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Nama-nama mereka ini bukan saya pilih, tetapi hasil tapisan oleh SPRM. Mereka mesti sangat bersih dan ini pun kita buat saringan dalam sistem yang disediakan, tiada rekod polis, langgar lampu isyarat pun tidak.
"Maknanya mereka ini bebas daripada tindakan undang-undang. Tidak ada rekod buruk dalam LHDN, tak berhutang dan diterima baik oleh masyarakat,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Muhyiddin menegaskan, isu tiga serangkai membabitkan air, elektrik dan jalan raya akan diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga tahun jika gabungan itu diberi mandat kelak.
Jelasnya, masalah berulang yang menghimpit rakyat Sabah tidak boleh lagi dibiarkan berlarutan tanpa tindakan jelas dan terancang.
Kata beliau, PN tidak mahu hanya sekadar bercakap kosong sebaliknya akan menjadikan komitmen terbabit dalam bentuk dokumen hitam putih sebagai janji rasmi yang perlu ditunaikan.
“Kita akan adakan kajian segera dengan menubuhkan pasukan khas supaya pakar meneliti isu pokok belum selesai dan akan jemput wakil rakyat sabah duduk berbincang.
"Ini bagi mencari tindakan susulan segera supaya isu pokok diselesaikan dalam tempoh sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun mendatang,” ujarnya.
Bekas Perdana Menteri itu turut menyeru semua ahli PN agar memberikan sokongan penuh kepada calon yang diumumkan dalam memastikan gabungan itu kembali menerajui pentadbiran Sabah.
Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan seramai 41 calon untuk dipertaruh dalam PRN Sabah kali ini dengan barisan calon muka baharu hampir 90 peratus manakala sekitar 30 peratus merupakan calon muda.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

