Hubungan erat dengan masyarakat Cina di kawasan DUN Merotai memberikan kelebihan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Baik sebagai kawan mahupun dalam bidang perniagaan sebelum berkecimpung dalam dunia politik, bagi Ketua Bahagian Kalabakan Tawau, Sarifuddin Hata, kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu juga banyak disokong oleh masyarakat Cina selain masyarakat Melayu di kawasan tersebut.

"Sebenarnya hubungan ini bukan sahaja semasa saya terlibat dalam parti politik tetapi hubungan saya dengan kaum Cina ini bermula sejak dari dulu lagi.

“Saya menjalankan perniagaan dengan mereka dan berkawan dengan mereka. Apabila Tahun Baru Cina saya ke rumah mereka untuk bertemu rakan-rakan.

"Itulah titik tolak bagaimana mereka menyokong saya sebab mereka kenal saya, kenal hati budi saya,” katanya.

Tambahnya, sebagai seorang pemimpin, seseorang itu hendaklah mempunyai hubungan yang baik dan sanggup meluang masa dengan masyarakat supaya dapat memahami masalah yang dihadapi mereka untuk dibantu.

Ketua Bahagian Warisan Kalabakan, Sarifuddin Hata berkata melihat kepada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, kemenangan calon di DUN banyak bergantung kepada kekuatan parti untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu.

Namun, katanya, berbeza untuk PRN kali ini di mana pengundi akan melihat keperibadian dan perwatakan seseorang calon itu untuk memenangi kerusi tersebut.

"Muka-muka yang lama saya rasa sudah memang ditolak rakyat pada masa PRU14.

"Ada pun menang, menang tipis sahaja, tetapi itu adalah atas kekuatan parti mereka sendiri pada masa itu, parti Barisan Nasional.

“Pada masa ini saya lihat, kemenangan wakil rakyat di kawasan kawasan DUN nanti ditentukan oleh keperibadian calon itu sendiri yang kita lihat bolehkah membantu rakyat di kawasan mereka.

"Bolehkah membela rakyat di kawasan mereka, adakah boleh bersama rakyat di masa susah dan senang, itu yang paling penting,” kata Sarifuddin.

Sarifudin ditemui semasa menghadiri Mesyuarat Warisan Masyarakat Cina di kawasan Muhibbah, Sin San, Gudang Empat dan Ulu Gudang Empat yang terletak dalam kawasan Parlimen Tawau.

Pihaknya juga sudah menghubungi jentera parti warisan di kawasan Kalabakan bagi menghadapi PRN yang dijangka pada September selepas sidang Parlimen selesai.