PRN Sabah: Shahelmey ada tiga minggu lagi 'tentukan' hala tuju politiknya

Shahelmey bercakap pemberita selepas ditemui dalam Program Semarak Juara Penyerahan Insentif Atlet Sukan Sabah bagi Pasukan Putatan, di sini pada Jumaat. - Foto Astro AWANI
PUTATAN: Datuk Shahelmey Yahya memberitahu masih dalam fasa mempertimbangkan hala tuju politiknya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, dan mempunyai tempoh sekitar tiga minggu lagi untuk membuat keputusan, menjelang hari penamaan calon yang ditetapkan pada 15 November depan.
Ringkasan AI
- Datuk Shahelmey Yahya masih mempertimbangkan hala tuju politik menjelang PRN Sabah ke-17, dengan tempoh tiga minggu sebelum penamaan calon pada 15 November.
- Beliau tidak menolak kemungkinan bertanding atas tiket Bebas atau GRS, namun sedar berdepan risiko tindakan undang-undang termasuk denda RM100 juta daripada UMNO kerana bon perjanjian.
- Shahelmey menegaskan keputusan akhir akan dibuat demi kebaikan rakyat, sambil menyerahkan mandat kepada pengundi untuk menentukan kepimpinan.
"Ada masa lagi, tarikh hari penaman calon lebih kurang tiga minggu dari sekarang. Jadi masih banyak masa untuk membuat sebarang keputusan," katanya kepada pemberita selepas ditemui dalam Program Semarak Juara Penyerahan Insentif Atlet Sukan Sabah bagi Pasukan Putatan, di sini pada Jumaat.
Ditanya sama ada beliau berhasrat bertanding atas tiket Bebas, Ahli Parlimen Putatan itu mengambil pendekatan untuk tidak tergesa-gesa mengumumkan pendiriannya dan meminta semua pihak bersabar sementara menunggu pengumuman rasmi.
Sementara itu mengenai kemungkinan berdepan denda RM100 juta daripada UMNO jika bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN17 ini, Shahelmey mengakui sedia maklum berhubung perkara itu.
"Ada (bon perjanjian) termasuk berkait RM100 juta persetujuan itulah," katanya.
Dalam pada itu, Shahelmey menegaskan asas utama dalam pilihan raya adalah untuk memperoleh mandat daripada rakyat, dan ia terpulang kepada pengundi untuk menentukan siapa yang layak memimpin.
"Macam-macam boleh terjadi. Apa yang penting adalah sesuatu keputusan yang kita buat adalah untuk kebaikan, dan asas dalam pilihan raya ini adalah untuk mendapat mandat daripada rakyat.
"Jadi bila tiba masanya nanti... selesai hari pencalonan dan tempoh kempen selama dua minggu serta tiba hari mengundi, waktu itulah kita serah kepada rakyat, untuk mereka menunaikan hak memilih dan memberi mandat kepada pemimpin yang mereka mahu," katanya.
Dua Ahli Parlimen UMNO iaitu Shahelmey dan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandi dilapor menyatakan hasrat untuk bertanding atas tiket GRS pada pilihan raya, akan datang.
Kedua-dua mereka digantung keahlian dalam UMNO selama enam tahun sejak awal 2023 selepas didakwa menentang keputusan UMNO Sabah untuk menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri dan kerajaan GRS melalui 'Langkah Kinabalu' pada Januari 2023.
Terbaharu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan kedua-dua wakil rakyat terbabit tertakluk kepada bon perjanjian yang ditandatangani bersama parti sebelum mereka menerima watikah calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Sehubungan itu, mereka bakal berdepan tindakan undang-undang termasuk denda RM100 juta sekiranya mereka bertanding atas tiket GRS.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


