GEDONG: Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendedahkan mengambil masa dua tahun untuk mempertimbangkan hasrat Datuk Naroden Majais supaya beliau mengambil alih kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak.

Ketua Menteri Sarawak itu berkata, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong itu ikhlas mahu beliau berpindah ke kerusi itu.

Ini kerana Naroden percaya pembangunan yang dirancang di Gedong boleh diteruskan di bawah kepimpinan Abang Johari.

“Beliau (Naroden) kata dengan saya, mungkin anda individu yang tepat mengambil tempat ini, dan saya mengucapkan terima kasih kepada beliau.

“Sebenarnya kita telah berunding dua tahun. Saya telah pun teragak-agak tetapi niat kita memang nak membantu masyarakat luar bandar.

“Dengan adanya jalan pesisir, bekalan elektrik dan air, maka saya kata kita kerjasama. Inilah sebabnya saya pindah dari Satok ke sini,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI, di sini pada Isnin.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] PRN Sarawak: SPR terima 349 kertas pencalonan, 10 parti bertanding


PRN Sarawak | Rakyat boleh menilai prestasi GPS - Abang Jo

Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) mewakili DUN Satok sejak sembilan penggal lalu.

Namun, pada PRN12 Sarawak beliau memilih untuk mengubah angin dan bertanding di kerusi baharu.

Mengulas lanjut, Abang Johari mengakui beliau pada mulanya berat hati untuk menerima pelawaan Naroden.

“Sementara itu saya terpaksa meyakinkan pengundi kita di Satok dan mereka rasa boleh melepaskan saya demi untuk rakyat,” tambah Abang Johari.

Dalam masa yang sama, Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu menambah akan mengekalkan Naroden bagi bersama-sama membantunya.

“Saya berterus terang akan kekalkan Datuk Naroden untuk membantu saya.

“Dengan latar belakang beliau untuk (sama-sama) menggalas rancangan yang telah saya rancang untuk kawasan Gedong dan semua kawasan yang berkehendakkan pembangunan,” kata beliau.

Naroden menjadi ADUN Gedong sejak 1991 dan mempertahan kerusi itu pada PRN11.

Beliau memenangi kerusi DUN Gedong dengan majoriti 3,365 undi, menewaskan calon Parti Amanah Negara (Amanah), Rapelson Richard Hamit dan calon Bebas, Uja Bensi.