KUCHING: Keadilan Sarawak menafikan cuba menimbulkan isu perebutan kerusi tertentu dalam kalangan rakan Pakatan Harapan (PH) Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak.

Sebaliknya, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan menegaskan DAP Sarawak yang enggan berunding secara terbuka dan telus dengan pimpinan Sarawak.

Jelas MPN Keadilan lagi, pihaknya sentiasa mengamalkan prinsip setiakawan dalam kalangan rakan PH Sarawak.

“Selama berbulan-bulan kami cuba bertemu dengan pimpinan tertinggi DAP Sarawak untuk membincangkan perkara itu tetapi berhadapan dengan penolakan kosong.

“Kami telah menjelaskan susulan tindakan keluar parti bekas Pengerusi Keadian, Larry Sng pada Februari lalu, sebarang perjanjian peribadi yang dibuat oleh beliau dengan DAP Sarawak adalah terbatal dan tidak sah.

“Ini kerana ia dilakukan secara persendirian tanpa pengetahuan dan persetujuan pemimpin serta akar umbi Keadilan Sarawak,” demikian menurut kenyataan tersebut, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, MPN Keadilan Sarawak berkata pihaknya telah mengenal pasti calon Dayak yang berpotensi tinggi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena.

Calon itu, katanya mendapat sokongan akar umbi yang sangat baik daripada masyarakat Iban tempatan.

“Pada asalnya kerusi Kemena adalah kerusi Keadilan tetapi dipinjamkan kepada DAP pada pilihan raya 2016 yang kemudiannya DAP kalah. Sepanjang pengetahuan kami, tidak ada calon DAP memimpin akar umbi yang bergerak aktif di Kemena selama 3 tahun yang lalu.

“Begitu juga dengan kes kerusi DUN Senadin dan Piasau, DAP Sarawak kehilangan kerusi ini kepada SUPP pada PRN 2016,” ujarnya lagi.

Justeru, MPN Keadilan Sarawak menzahirkan kekecewaan apabila DAP Sarawak masih enggan terlibat dalam sebarang rundingan mengenai perkara tersebut, dan terus menuntut ketiga-tiga kerusi itu walaupun prestasi mereka kurang memuaskan.

“Dengan ini, kita bertanya kepada DAP Sarawak di manakah perpaduan dan setia mkawan?,” soalnya.

DAP Sarawak mencalonkan Marcus Hugo di DUN Senadin, manakala Peter Hee Leh Keng (Piasau).