PELAGUS: Kegagalan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah, Alexander Vincent memperoleh majoriti yang selesa pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN11) menyebabkan beliau digugurkan dalam saingan kali ini.

Menurut Pemangku Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Salang Gandum, keputusan dibuat sebulat suara kepimpinan parti.

Malah mendiang Tan Sri James Jemut Masing juga ujarnya telah menggesa Alexander untuk menyokong sesiapa sahaja yang dicalonkan bagi menggantikan kedudukannya di DUN tersebut sebelum ini.

“Pada 2011 beliau telah menang dengan majoriti 990 dan pada 2016 beliau telah memenangi kerusi hanya dengan majoriti 154.

“Oleh yang demikian kita ada keraguan dan oleh kerana keraguan inilah kita mencalonkan muka baharu untuk mempertahankan kerusi Dun itu.

“Selain itu, bekas ahli Yang Berhormat ADUN Ngemah juga telah disarankan oleh mendiang Tan Sri untuk menyokong sesiapa sahaja yang dicalonkan untuk menggantikan beliau,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi DUN Pelagus pada Ahad.

Tambah Salang, PRS juga bersetuju meletakkan Anyi Jana yang merupakan bekas pendidik bagi menggantikan Alexander.

“Kita calonkan muka baharu (Anyi Jana) dan beliau merupakan orang tempatan dan dirasakan akan mampu mempertahankan kerusi DUN tersebut,” ujarnya lagi.

Untuk PRN kali ini, PRS mengekalkan sembilan penyandang sedia ada bagi mempertahankan kerusi DUN mereka dan dua muka baharu termasuk Nicholas Kudi Jantai di DUN Baleh menggantikan mendiang Masing.

Pada PRN 11, Alexander yang berdepan saingan empat penjuru menang dengan majoriti tipis dengan 154 undi.

Beliau yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) bagaimanapun berjaya menewaskan calon Bebas, Joseph Jawa Kendawang yang memperoleh 2,734 undi, Thomas Laja Besi dari PKR (396) dan Richard Lias dari DAP (243).