MULU: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Gerawat Gala kekal sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi mempertahankan kerusi DUN Mulu dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12)  bulan depan.

Pengumuman dibuat Ketua Menteri merangkap Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam ucapannya di Majlis Pelancaran Pusat Khidmat Mulu di sini pada Khamis.

“Kalau anda fikir GPS dan wakil rakyat anda sudah memberikan khidmat dengan baik, berilah kuasa semula untuk lima tahun.

"Pembangunan jalan raya akan dilaksanakan, Mulu akan membangun, pendapatan ekonomi pun akan meningkat.

“Jadi ingat itu sahajalah, supaya semua dapat manfaat. Dengan itu saya beri jaminan kita akan letakkan semula Datuk Gerawat sebagai calon di kawasan Mulu,” katanya.

Pada PRN11, Gerawat yang bertanding di kerusi baharu itu sebagai calon langsung Barisan Nasional, menang dengan majoriti 1,708 undi.

Beliau berhadapan cabaran empat penjuru, dengan calon Bebas, Roland Dom Matu mendapat 239 undi; Pauls Baya - PKR (1,490 undi) dan Paul Anyie Raja - DAP (309 undi).

Pada PRN ke-12, kawasan itu memiliki seramai 9,438 pemilih berdaftar.

Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Sarawak, sekaligus mencipta sejarah sebagai Orang Ulu pertama yang dilantik ke jawatan itu.

Sementara itu pembinaan Pusat Khidmat Mulu adalah sebahagian daripada pembangunan yang dirancang di daerah kecil itu termasuk jalan raya yang menghubungkan Mulu ke Miri.

Mulu sebelum ini hanya mempunyai akses udara dan laluan sungai.

Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Majlis Pelancaran Pusat Khidmat Mulu - Astro AWANI

“Menurut JKR, apabila siap jalan raya ini kelak, ia akan mengambil masa lebih kurang sejam 40 minit dari Miri untuk datang Mulu.

"Anda pun boleh pergi Miri sejam 40 minit, tidak perlu ikut keadaan cuaca (pengangkutan udara). Tapi kos jalan ini boleh tahan juga.

" Tetapi kamu tak perlu risau, tunggu sahaja saya kerja cari dana untuk jalan ini bagi kemudahan kamu,” katanya lagi.

Namun begitu jelasnya, beliau memerlukan mandat baharu daripada rakyat untuk merealisasikan pelan pembangunan berkenaan.