GEDONG: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak boleh terlalu selesa meskipun parti itu dilihat berpotensi besar untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak pada 18 Disember ini.

Penganalisis Sosio Politik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berpandangan, sikap pemimpin GPS yang yakin mereka boleh mencapai kemenangan disifatkan sebagai bahaya.

Ini kerana, Awang Azman bimbang sekiranya keyakinan tersebut boleh mempengaruhi pengundi untuk tidak turun menjalankan tanggungjawab mereka pada hari pengundian.

"Walaupun GPS ini peluang lebih tinggi untuk majoriti kerusi, tetapi mereka tidak boleh leka. Jika mereka leka, penyokong mereka akan kurang turun mengundi. Apabila itu berlaku, ini akan memberi risiko kekalahan kepada mereka.

"Sebab, masing-masing parti kata mereka boleh menang. Itu sangat bahaya sebenarnyay. Bukan sahaja bahaya kepada parti politik, tetapi juga kepada sistem demokrasi di negeri Sarawak ini," katanya kepada Astro AWANI, di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun, jelas beliau lagi, parti pembangkang seperti Pakatan Harapan (PH) yang tidak sepakat dalam pembahagian kerusi telah menimbulkan persepsi dalam kalangan pengundi.

Keadaan itu, tegas beliau memberi kelebihan kepada GPS yang dilihat lebih bersatu, sekali gus mampu menawan hati pengundi.

Dalam masa yang sama, Awang Azman berkata, kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi kempen PRN12 Sarawak perlu dijadikan senjata ampuh kepada setiap parti untuk mendekati rakyat.

"Apabila kelonggaran diberikan, maka kempen boleh bergerak dari rumah ke rumah. Walaupun dengan SOP yang ketat, ia perlu dijadikan sebagai satu strategi yang sangat ampuh.

"Walaupun kita tahu ada media sosial, tetapi kita kena ingat, dari segi akses ke media sosial ini, agak terbatas.

"Jadi, saya lihat gabungan pendekatan yang tradisional, (iaitu) kempen dari rumah ke rumah dan juga kempen media sosial, ini merupakan kombinasi yang mampu memberikan impak positif kepada pengundi," ujar beliau lagi.

Tambah beliau, kelonggaran SOP itu juga mencerminkan reaksi positif SPR selepas mendengar keluh-kesah pengundi dan parti-parti politik.

BACA: PRN Sarawak: Ceramah dibenarkan tidak lebih dua jam! Ini SOP kempen

BACA: PRN Sarawak: Terus sokong GPS, 34 manifesto demi rakyat dan negeri - Abang Jo

Sebanyak 64 DUN telah dikenal pasti sebagai lokasi yang mempunyai capaian internet 4G yang rendah.

Sehubungan itu, SPR menetapkan lokasi-lokasi tersebut dibenarkan menganjurkan ceramah secara fizikal di lokasi tertutup, dengan pematuhan SOP termasuk mendapatkan permit daripada pihak polis.