PELAGUS: Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi optimis gabungan itu akan mampu meraih kemenangan lebih daripada dua per tiga dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.

Malah Ahli Parlimen Kapit itu juga yakin akan mampu merampas beberapa kerusi yang dimenangi DAP pada PRN11.

“Kami di peringkat GPS melibatkan pemimpin-pemimpin dari semua komponen gabungan yakin kita akan dapat menang malah kita yakin dapat menang memang lebih dua per tiga.

“Kita baru-baru ini mendapat maklumat daripada sumber-sumber tertentu bahawa ada beberapa kawasan yang dimiliki DAP akan mampu ditawan semula. Jadi saya berharap ini boleh menjadi kenyataanlah,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 GPS bagi Dun Pelagus pada Ahad.

Selain itu, ketika diajukan tentang calon baharu, Lidam Assan, yang ditampilkan bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Katibas, Nanta berkata DUN itu juga mampu dipertahankan.

“Jadi kita yakin beliau boleh menang walaupun muka baharu... beliau merupakan orang tempatan, anak watan. Beliau juga sangat mesra dengan rakyat dan sebab itulah beliau dipilih sebagai calon dan saya yakin dia boleh menang juga di DUN Katibas,” tambahnya lagi.

Kerusi DUN Katibas sebelum ini disandang oleh Datuk Ambrose Blikau Enturan selama sembilan penggal.

Pada PRN11, Ambrose dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berjaya 4,681 undi sekali gus menewaskan calon DAP, Paren Nyawi, yang meraih 1,628 undi.

Bagaimanapun, Ambrose mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi DUN tersebut.

Beliau mengumumkan pendiriannya kepada ahli PBB di kawasannya, sebelum dipanjangkan ke dalam bentuk pengumuman dan ucapan terima kasih oleh PBB Cawangan Katibas pada 18 November lalu.