SPAOH: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 adalah medan bagi melatih anak muda untuk memimpin, kata Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Douglas Uggah.

Jelas Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu, kepimpinan negeri amat memerlukan wakil muda bagi menjaga rakyat negeri ini.

“Apabila seorang pemimpin itu mengundur diri, seseorang pasti akan mengambil alih untuk meneruskan perjuangan parti dan berkhidmat kepada rakyat di negeri ini.

“Oleh sebab itulah, kita mengangkat ramai orang muda untuk PRN kali ini,” katanya selepas sesi perjumpaan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), di Pekan Spaoh pada Selasa.

Tambahnya lagi, bagi memastikan PBB kekal menjadi tulang belakang kepada politik Sarawak, adalah mustahak bagi parti itu membentuk pemimpin masa hadapan.

Ditanya mengenai jumlah pencalonan yang agak banyak bagi PRN Sarawak kali ini, Uggah menyifatkan ia sebagai lambang suburnya demokrasi di negeri itu.

"Ini adalah proses demokrasi di Sarawak, kita mengalu-alukan sesiapa sahaja yang menawarkan diri untuk menjadi wakil rakyat.

Antara calon muda  dan muka baharu yang akan mewakili PBB kali ini termasuk calon bagi kerusi DUN Tanjung Datu, Azizul Annuar Adenan, Dayang Noorazah Awang Sohor  (DUN Lingga), Royston Valentine (DUN Tellian) dan Allan Siden Gramong (DUN Machan).