KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang mengadakan perbincangan dengan pihak Parti Tindakan Demokratik (DAP) agar tiada pertindihan kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 yang akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin, pilihan raya negeri kali ini akan menyaksikan pengagihan kerusi yang adil antara parti pembangkang di negeri itu.

“Kita sedang berbincang mengenai pertindihan kecil ini dan saya fikir tidak akan ada berlaku pertindihan antara parti di satu-satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan,” jelasnya selepas Majlis Peluncuran Jentera Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat Sarawak (PKR) di Imperial Hotel pada Sabtu.

Tambah Anwar, kerjasama antara PKR Sarawak dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) juga dalam perbincangan dengan syarat-syarat yang masuk akal.

“Yang utama, kita sebagai parti pembangkang mesti berada dalam posisi yang sentiasa bersatu tetapi sebagai parti yang baharu, PSB mesti boleh membantu PKR dalam mengenal pasti kerusi DUN yang memiliki potensi untuk dimenangi.

“Kita biarkan parti di Sarawak yang menentukan soal kerjasama ini dan pastinya akan ada tempohnya, mereka (PKR Sarawak dan PSB) akan menasihati kita apa kesannya pada pilihan raya kelak,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan PKR akan menggunakan cara yang cukup halus dan berkesan untuk menapis setiap calon-calon yang akan bertanding dalam PRN ke-12 Sarawak.

“Kita guna nyiru yang cukup halus untuk membuat tapisan, tapi kadang kadang tarikan wang ringgit dan kuasa itu seperti saya sebut kadang-kadang terlalu kuat dan memukau sehinggakan ada orang yang boleh memilih untuk menyokong parti yang bertentangan dengan aspirasi rakyat Sarawak yang pelbagai agama dan kaum.

“Dan mereka ini oleh merujuk kepada satu parti yang mendokong prinsip kononnya satu kaum dan satu agama, namun dapat  dibanyangkan betap kuat tarikan itu sehingga dia khianati parti, juga khianati amanah rakyat yang diwakilinya,” katanya.