KUCHING: Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee Shan membidas kenyataan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Seri Wong Soon Koh yang menyifatkan parti itu berdepan kekangan dalam mendapatkan kemerdekaan Sarawak.

Tegasnya, Soon Koh harus peka dan memahami undang-undang dengan teliti berkaitan hasutan dan konteks derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas mengenai pendirian mereka, keputusan mendapatkan kemerdekaan untuk Sarawak tidak melanggar mana-mana perlembagaan atau undang-undang di Malaysia sehingga boleh mendatangkan darurat di Sarawak seperti yang didakwa Soon Koh.

“Semua kita sedia maklum bahawa Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi di Malaysia, dan tiada undang-undang di dalamnya menghalang Sarawak untuk mendapatkan kemerdekaan daripada Persekutuan Malaysia.

“Tidak seperti perlembagaan di negara lain, untuk kita mendapatkan kemerdekaan kita tidak perlu mewujudkan referendum kerana tiada peruntukan ini di dalam perlembagaan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kuching pada Rabu.

Jelas Lee Shan, usaha untuk mendapatkan kemerdekaan secara sah dan aman mengikut lunas perundangan yang tidak melanggar Seksyen 121 Kanun Keseksaan.

Sebarang tindakan yang melanggar undang-undang tersebut akan dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

“Seksyen 121 Kanun Keseksaan memperuntukkan sesiapa yang mengisytiharkan perang, melawan Yang di-Pertuan Agong atau terhadap mana-mana raja atau Yang di-Pertua Negeri atau bersubahat melancarkan perang hendaklah dihukum.

“Kita tahu hukuman berperang melawan Raja, jika sabit kesalahan hendaklah dihukum mati atau penjara seumur hidup. Bagaimana mungkin melancarkan perang terhadap Raja jika Sarawak menuntut kemerdekaan dengan cara aman, tanpa senjata dan mengikut undang-undang yang ditetapkan?,” soal Lee Shan.

Jelasnya proses mendapatkan kemerdekaan Sarawak akan melalui rundingan seperti yang telah dilakukan Singapura pada 1965.

Terdahulu, presiden PSB itu menyeru masyarakat di Sarawak tidak termakan propaganda parti yang bertanding membawa isu keluar daripada Malaysia.