KUCHING: Parti Bumi Kenyalang (PBK) mengesahkan 15 calon awal yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.

Perkara itu diumumkan presidennya, Voon Lee Shan dalam satu kenyataan pada Rabu yang melibatkan kerusi di bahagian Kuching dan pedalaman.

Malah beliau juga mengesahkan dirinya juga akan bertanding bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Lintang.

Antara lain termasuk Chai Kueh Khun (Batu Kawa), Wong Tun Teck (Batu Kitang), Lue Cheng Hing (Kota Sentosa), Raymond Thong (Padungan), Teo Kuang Kim (Pending) dan Atet Dego (Stakan).

Manakala lapan kerusi di luar bandar adalah di Kasim Mana (Balai Ringin), Usop Asun (Batang Ai), Jackie Chiew (Beting Maro), Marcus Kayong (Bukit Begunan), Stel Datu (Engkilili), Baha Iman (Lingga), Wan Chee Wan Mahjar (Sebuyau) dan (Peli Aron) Simanggang.

"Hari ini kita umumkan dahulu 15 calon pertama yang akan bertanding pada PRN12 nanti. Kita menyasarkan untuk bertanding di 26 kerusi DUN Sarawak," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam kenyataan sama, Lee Shan mendedahkan hanya dua kerusi di Kuching masih belum diisi membabitkan DUN Semariang dan Demak Laut.

Sementara itu senarai calon untuk kerusi di DUN Opar, Tasik Biru, Tanjong Datu, Serembu, Mambong, Tarat, Tebedu, Kedup dan Bukit Semuja diisi oleh majoriti Bidayuh yang mempunyai latar belakang profesional termasuk saintis, jurutera dan pendidik dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Kami yakin dengan visi PBK untuk mencari kebebasan dan kemerdekaan bagi Sarawak daripada Persekutuan Malaysia akan mewujudkan impak yang besar untuk mengubah senario politik Sarawak.

“Kami berharap penyokong kami untuk terus kuat menyokong parti dan menawan kerajaan Sarawak. Hampir semua yang kami temui di lapangan mahu melihat Sarawak bebas dan merdeka daripada Persekutuan Malaysia,” katanya.

PBK turut memohon penyokong untuk membantu parti serta calon dalam penyediaan logistik, tenaga kerja dan dana untuk PRN12.