BAU: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mempunyai kaedah sistematik untuk mendekati rakyat sebagai persiapan jika kempen rumah ke rumah tidak dibenarkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

Timbalan Ketuanya, Miro Simuh berkata penggunaan media sosial termasuk aplikasi TikTok antara yang popular dalam kalangan masyarakat ketika ini, dan ia diyakini mampu digunakan sebaiknya untuk menyampaikan manifesto parti.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serembu itu menambah, sejak diberi mandat pada PRN ke-11, wakil-wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah pun menjalankan tanggungjawab di kawasan masing-masing.

“Jadi corak kita berkempen bukan hanya menunggu pilihan raya, kita sudah melaksanakan kerja dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat sebelum ini, dan sudah pasti rakyat tahu apa yang kita buat di dalam kawasan kita sendiri.

“Kita kena akui tidak semua kawasan mendapat liputan meluas dari segi telekomunikasi, jaringan internet dan sebagainya terutama sekali di kawasan luar bandar. Tetapi kita ada metodologi-metodologi tertentu yang telah kita rangka dan sudah buat untuk memasuki kawasan-kawasan luar bandar yang tidak diliputi oleh rangkaian telekomunikasi,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, baru-baru ini.

Tanpa memperincikan kaedah-kaedah yang bakal dilaksanakan, Miro berkata perkara itu akan merancakkan kempen parti, sekali gus memenangi hati rakyat.

Mengimbas kemenangan pada PRN ke-11 lalu, beliau berkata kekuatan jentera menjadi kunci kepada kejayaan di kerusi DUN yang pertama kali dipertandingkan pada 2016 itu.

Bagaimanapun, Miro yang enggan mengesahkan sama ada mengekalkan kerusi sama atau sebaliknya, menegaskan mana-mana calon GPS yang diletakkan tidak boleh berasa selesa.

"Untuk pilihan raya kali ini, kita sudah bersedia begitu lama dan tunjuk khidmat kepada rakyat dalam tempoh lima tahun dan itu intipati penting untuk rakyat menilai kita.

“Bila kita bercakap mengenai pesaingan kali ini, kita tak boleh berasa terlampau selesa atau mewujudkan zon selesa dalam kalangan orang kita kerana bagi saya setiap pilihan raya itu, adalah persaingan.

"Kita perlu bersedia meletakkan perjuangan kita dan arah tujuan pada mula (pencalonan) sampai ke hari pembuangan undi, bahawa kita perlu bekerja keras," ujarnya.

Pada PRN ke-11, peratusan keluar mengundi di DUN Serembu adalah 77.02 peratus, dengan jumlah pemilih seramai 9,065 orang.