Populariti Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem masih belum menjamin Barisan Nasional (BN) untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) milik pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 nanti.

Penganalisis Politik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata kawasan pembangkang yang majoriti pengundi Cina agak sukar ditawan semula berikutan masalah dalaman dihadapi parti komponen BN terutama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

"SUPP nampaknya masih tidak dapat menarik sokongan pengundi Cina di Sarawak. Parti itu misalnya mengambil masa dua tahun untuk menyelesaikan masalah dalaman yang mana menyaksikan wujud pecahan Parti Rakyat Bersatu (UPP).

"PRN Sarawak ke-10 misalnya menyaksikan bagaimana sokongan pengundi Cina kepada SUPP menurun kepada 37 peratus. Maka, adakah kita akan saksikan sokongan berubah kepada SUPP kali ini? Kita nantikan," ujar Jeniri.

Beliau ditemui ketika membentangkan hasil kajian dalam Perbincangan Meja Bulat Pilihanraya Negeri Sarawak Ke-11 anjuran Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) di Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya.

SUPP dalam PRN Sarawak ke-10 hanya memenangi enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 19 yang ditandingi.

Sementara itu, Dr Lucy Sebli Seidelson yang juga dari UNIMAS berpandangan BN perlu mengemukakan lebih ramai calon wanita dalam usaha memartabatkan kaum itu dalam arus pembangunan Sarawak.

Katanya, politik Sarawak terlalu lama didominasi kaum lelaki dan sudah tiba masanya untuk diberikan lebih banyak peluang kepada wanita untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Saya akui ada kerusi diperuntukkan kepada kaum wanita namun ia tidak begitu mencukupi. Bagaimanapun kita memahami sentimen politik di Sarawak namun moga di masa depan, wanita terus diberi lebih ruang untuk berkidmat kepada rakyat.

Adenan sebelum ini mengumumkan enam calon wanita daripada BN bagi PRN Sarawak ke-11 dengan dua adalah kerusi baharu hasil persempadanan semula yang dijalankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Perbincangan Meja Bulat Pilihanraya Negeri Sarawak Ke-11 turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Datuk Raduan Che Rose dan Ketua Kluster, Prof. Datuk Seri Dr Muhamad Mustafa Ishak.

PRN Sarawak ke-11 dijangka berlangsung awal Mei dengan pembubaran DUN pada 8 April 2015.