KUALA LUMPUR: Sekalipun Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka tidak berhadapan masalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 18 Disember ini, namun, landskap demokrasi di negeri itu amat penting untuk memperlihatkan trend politik di Borneo.

Menurut penganalisis politik, Prof Sivamurugan Pandian, apa yang akan menjadi tumpuan pemerhati ialah apakah wujud kesinambungan keputusan PRN Melaka khususnya berhubung prestasi Pakatan Harapan (PH) di Sarawak.

Sivamurugan berkata, tumpuan juga akan diberikan pada bagaimana komponen PH iaitu PKR dan DAP dapat menyelesaikan konflik dalaman mereka mengenai pembahagian kerusi serta impak terhadap prestasi parti masing-masing kali ini.

"Sudah ada perubahan dalaman PKR terhadap prestasi mereka, isu dalaman juga belum diselesaikan.  Itu sebabkan kepimpinan PKR bertanding 27 kerusi, pastikan sekurang kurangnya beri persaingan di kerusi yang ditandingi.

“Malahan bagi Presiden, PKR, sudah pasti beliau melihat realiti, real politik, ini kedudukan PKR dalam sekarang, sebelum mahu buat besar perubahan.

“Tapi PRN penting (untuk) nilai kesemua parti… apakah akan ada kesimbangan dari PRN Melaka? Walaupun Semenanjung berbeza dari Sarawak, tapi ini indikator penting untuk lihat trend di negeri Borneo,” jelasnya dalam wawancara dengan Astro AWANI pada Ahad.

Baru-baru ini Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi PH mengumumkan partinya akan bertanding 28 daripada keseluruhan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Keputusan itu sekali gus menamatkan spekulasi pertembungan antara dua komponen PH iaitu DAP dan PKR.

Mengulas lanjut, Sivamurugan berkata, Parti Sarawak Bersatu (PSB), masih dilihat sebagai pesaing terbesar GPS kerana banyak dibarisi nama-nama besar tempatan.

"Bagi saya pesaing (GPS) ialah PSB kerana tokoh figura sosok terlibat ada latar yang cukup kuat, guna tenaga jentera dan dana yang besar.

“Persaingan ini perlu diawasi GPS walaupn kita kata GPS boleh menang mudah, tapi tak boleh tolak sama sekali persaingan parti ini kerana, yang mengetuainya antara tokoh yang digeruni di Sarawak,” tegas Sivamurugan lagi.