SARIKEI: Penubuhan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dilihat hanya bertujuan untuk menjadi kerajaan semata-mata dan bukan untuk membela nasib rakyat di negeri ini.

Demikian pandangan calon Bebas bagi DUN Kuala Rajang, Datuk Seri Abang Aditajaya Abang Alwi yang juga merupakan bekas anggota parti tersebut.

“Di dalam PSB saya melihat hala tuju parti ini lebih kepada untuk merampas kerajaan daripada betul-betul hendak membela rakyat.

“Selain daripada kes peminjam wang yang menyebabkan saya keluar parti, saya telah membuat keputusan untuk menarik diri menjadi wakil ataupun menjadi calon PSB dan memikirkan platform Bebas lebih baik bagi saya,” katanya ketika ditemui di Sarikei pada Ahad.

Klik untuk dapatkan perkembangan terkini sepanjang kempen PRN Sarawak 2021

BACA: Dakwa dipaksa tandatangani surat dengan 'money lender', Abang Aditajaya tinggalkan PSB

Selain itu dia turut ditanya mengapa memilih platform Bebas sedangkan banyak parti lain yang boleh disertai untuk memperkuatkan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12).

Ujarnya, tiada parti berdasarkan pengamatannya mempunyai hala tuju dan wawasan yang jelas berbanding Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinan Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Saya sebenarnya telah menilai perlembagaan atau pergerakan parti-parti sama ada daripada Semenanjung  ataupun daripada parti tempatan tetapi hala tuju mereka tidak nampak jelas kecuali GPS di bawah naungan Abang Johari di mana parti ini adalah parti yang keluar daripada Barisan Nasional (BN).

“Parti-parti ini (lain) lebih memperjuangkan hak individu dan cuma mempunyai matlamat untuk merampas kerajaan daripada hendak membela rakyat,” tambahnya.

Pada November, Abang Aditajaya memaklumkan penarikan dirinya sebagai calon PSB bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang kerana beliau tidak bersetuju dengan terma dan syarat yang ditetapkan PSB bagi menghadapi PRN12.

Malah tambahnya, dia telah dipaksa namun menolak untuk menandatangani perjanjian dengan syarikat ‘peminjam wang’ bagi membiayai kempen.

Ujarnya hal tersebut jelas akan merosakkan reputasinya di mata pengundi dan ia bertentangan dengan ajaran agama Islam.