Skip to main content
Advertisement

Politik

PRN Sarawak: Surat pembubaran DUN dihantar kepada SPR hari ini - Speaker

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar menunjukkan surat pengisytiharan pembubaran DUN Sarawak pada sidang media di Bangunan DUN Sarawak hari ini. - Foto Bernama
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar menunjukkan surat pengisytiharan pembubaran DUN Sarawak pada sidang media di Bangunan DUN Sarawak hari ini. - Foto Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Surat pemakluman pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak telah dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini oleh Speaker Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar.
  • Pembubaran DUN Sarawak berkuat kuasa 26 Oktober bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri ke-13, seperti diumumkan Premier Sarawak.
  • Kerajaan negeri akan berfungsi sebagai kerajaan sementara sehingga PRN, selaras dengan kehendak dan kelaziman perlembagaan yang berkuat kuasa.

KUCHING: Surat pemakluman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah dihantar ke Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini, kata Speaker Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar.

Beliau berkata pihaknya menerima surat pengisytiharan pembubaran DUN Sarawak yang ditandatangani Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Jumaat lepas.

β€œSurat pengisytiharan pembubaran itu juga adalah selari dengan Perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak di mana Yang Dipertua Negeri mempunyai kuasa membubarkan DUN.

β€œSehubungan itu, saya telah memaklumkan kepada Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun mengenai perkara itu melalui surat bertarikh hari ini,” katanya pada sidang media di bangunan DUN Sarawak hari ini.

Pada 23 Okt lepas, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan DUN Sarawak dibubarkan berkuat kuasa 26 Okt, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13.

Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata dalam tempoh itu, kerajaan negeri akan melaksanakan tanggungjawab sebagai kerajaan sementara dengan mematuhi segala kehendak dan kelaziman perlembagaan yang berkuat kuasa.

Mandat semasa DUN Sarawak yang ketika ini mempunyai 82 kerusi, akan berakhir pada Februari 2027.

Pada PRN ke-12 yang diadakan 18 Dis 2021, GPS memperoleh mandat selepas memenangi 76 daripada 82 kerusi dipertandingkan, manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) meraih empat kerusi manakala DAP dua kawasan.

Bagaimanapun, dinamik politik negeri menyaksikan perubahan selepas PSB dibubarkan pada 2024, yang membawa kepada penyertaan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu ke dalam Parti Demokratik Progresif (PDP) iaitu satu daripada komponen GPS.

Sementara itu, seorang lagi bekas ADUN PSB See Chee How yang mewakili Batu Lintang, keluar parti dan menjadi ADUN Bebas.

GPS dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan PDP.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement