KUCHING: Tiada ruang untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding dalam Pilihan Raya Negeri ke 12 (PRN12) Sarawak sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyatakan pendirian untuk bertanding di semua 82 kerusi.

Jelas Felo Kanan Majlis Profesor Negara Dr Jeniri Amir, langkah GPS ini dilihat wajar bagi mencapai sasaran memenangi sekurang kurangnya 70 kerusi.

‘’Harus kita ingat bahawa GPS bukan entiti politik yang formal bersama-sama dengan Perikatan Nasional (PN).

‘’Tidak ada sebab sebenarnya untuk GPS menjalinkan kerjama dengan Bersatu dan harus kita ingat kalau dilihat dari segi kekuatan Bersatu sekarang hanya ada satu ADUN sahaja iaitu Datuk Ali Biju di Krian.

‘’Jadi mana mungkin untuk GPS memberi laluan kepada Bersatu untuk bertanding dalam PRN ke-12 nanti,’’ katanya.

Ujarnya, adalah lebih baik untuk Bersatu membantu GPS berkempen di peringkat akar umbi sambil mengukuhkan kedudukannya di Sarawak.

‘’Kemungkinan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang mereka akan dapat berkompromi kerana dalam konteks PRU saya percaya kemungkinan wujudnya keadaan menang-menang bagi kedua-dua belah pihak.

‘’Tapi buat waktu ini di sebalik keyakinan GPS untuk memenangi sekurang-kurangnya 70 kerusi dalam PRN ke-12 Sarawak nanti, pintu untuk Bersatu saya fikir adalah tertutup,’’ tambahnya.

April lalu, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Zuraida Kamaruddin mencadangkan agar partinya dapat bertanding di Sarawak di bawah panji GPS.

Ia bagaimanapun mencetuskan reaksi kurang senang beberapa pemimpin GPS yang menganggap kenyataan itu sebagai membelakangkan setiakawan GPS yang mendukung Perikatan Nasional (PN) di peringkat pusat.

Untuk rekod, Bersatu ketika ini memiliki satu kerusi di DUN Krian yang diwakili Datuk Ali Biju.

Ali memenanginya kerusi berkenaan pada PRN11 atas tiket PKR sebelum bertindak menyertai Bersatu menerusi Langkah Sheraton.