BALEH: Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong disebut-sebut sebagai pilihan utama bagi mengisi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh.

Menerusi tinjauan Astro AWANI di beberapa rumah panjang di DUN tersebut, Ugak disifatkan calon yang tepat kerana memahami aspirasi penduduk tempatan.

Malah beliau menjadi pilihan kerana peka dengan isu setempat selain dipercayai mampu meneruskan legasi kepimpian mendiang Tan Sri James Jemut Masing.

Menurut Depa Elong yang merupakan penduduk Rumah Panjang Wong di Nanga Sepata, Ugak mempunyai ciri kepimpinan menyerupai mendiang Masing.

“Sekiranya Datuk Wilson dipilih, saya yakin dia mampu membawa lebih lagi perubahan kepada kami terutama penduduk rumah panjang.

“Namun, walau sesiapapun yang dinamakan nanti sebagai pengganti, saya harap dia mampu membela nasib penduduk di sini dan membawa lebih banyak pembangunan ke Baleh,” katanya.

Selain itu, bagi James Bandak yang merupakan Tuai Rumah James Bandak, pemilihan Ugak adalah bertepatan kerana dia merupakan warga setempat yang sangat memahami masalah yang mendepani warga DUN tersebut.

“Pemergian mendiang ibarat kehilangan seorang bapa yang sangat memahami keperluan anak-anaknya.

“Untuk itu, jika penyandang baharu ini bukan dalam kalangan penduduk asal kawasan ini, dia tidak akan memahami apa yang kami mahukan.

“Justeru saya rasa Datuk Ugak memang calon yang bertepatan bagi menggantikan mendiang Tan Sri (Masing),” ujarnya.

Sementara bagi Lamau Jinggut yang merupakan Tuai Rumah Lamau Jinggut, kedudukan Ugak sebagai ahli Parlimen memudahkan kebanyakan rancangan pembangunan di bawah gagasan mendiang Masing dapat diteruskan.

“Kalau selain dari Datuk Wilson Ugak, susah untuk memahami keperluan pembangunan di kawasan kami, kerana tiada pengalaman.

“Jadi menurut pemahaman saya, adalah wajar untuk memilih mereka yang punya pengalaman dengan keadaan dan penduduk setempat,” katanya lagi.

Ugak merupakan penyandang kerusi Parlimen Hulu Rajang selama dua penggal bermula 2013.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Ugak berjaya memperoleh 11,834 undi menewaskan calon PKR, Abun Sui Anyit yang menerima 5,519 undian.