SHAH ALAM : Parti Sosialis Malaysia (PSM) bukanlah parti haluan kiri seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pendapatnya berbeza kerana PSM telah banyak memperjuangkan masalah rakyat terutamanya isu pekerja selama ini.

Menurutnya, parti itu telah konsisten membawa isu gaji minimum RM1,500, skim insurans pekerja, membela nasib pekerja pembersihan dan keselamatan serta isu rampasan tanah.

“Mari berlaku adil kepada mereka, walaupun kalah ketika pilihan raya tetapi mereka tetap meneruskan politik khidmat. Saya mengagumi tindakan ini.

“Muda pun tidak sempurna. Banyak yang perlu kita pelajari antara satu sama lain. Beri kami peluang untuk menjadi suara anda,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan, Muda akan bekerjasama dengan PSM bagi menghadapi PRN berlandaskan lima tunjang utama antaranya menolak politik perkauman dan mengangkat nasib rakyat terbanyak dan terpinggir.

Syed Saddiq berkata, mereka ingin bersama memegang kepada prinsip termaktub dalam Rukun Negara serta Perlembagaan Persekutuan bagi mengharungi PRN. - Sinar Harian