KUALA LUMPUR : Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan kehadiran beliau pada kempen calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, Datuk Harisson Hassan, di Puncak Alam baru-baru ini, bukan tanda beliau menyokong parti itu. 

Sebaliknya, bekas Ketua Pemuda UMNO itu menjelaskan, beliau turun untuk semata-mata membantu dan menyokong Harisson, yang disifatkan sebagai rakan lama dalam perjuangan politiknya.

Katanya menerusi siaran podcast Keluar Sekejap malam tadi, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), terdapat ruang untuk menyokong calon bagi memberi fokus kepada isu tempatan dan masalah setempat.

BACA: PRN: KJ luang masa bantu kempen calon PN Jeram

“Untuk makluman pendengar, Keluar Sekejap akan kekal 'keluar sekejap' untuk tempoh agak lama. Saya turun ke Jeram baru-baru ini untuk membantu calon, bukan untuk memilih parti.

"Ramai yang kata saya turun membantu PN dan sebagainya, tetapi saya rasa, dalam pertandingan negeri ini, ada ruang untuk kita sokong calon dan Harrison.

“Saya nak terangkan, sebab, kita di (peringkat) Parlimen, (ialah bagi) pembentukan Kerajaan Persekutuan. Tetapi di negeri, banyak fokus kepada isu tempatan, kehidupan harian, masalah setempat.

"Yang mana, saya rasa, pemilihan itu jangan hanya berkisar kepada bendera parti, tetapi kepada calon. Atas semangat tersebut, untuk kali ini, saya sokong calon.

"Saya pergi ke Jeram sebab calonnya adalah Datuk Harisson Hassan,” katanya. 


Ujar Khairy Jamaluddin lagi, beliau berkempen untuk Harisson, yang juga pencadang kepada beliau ketika bertanding di Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu, sebagai membalas budi.

Malah, katanya, selepas ini, beliau akan menyokong dan turun berkempen bagi calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Katanya, beliau akan menyokong rakan seperjuangannya itu kerana berpendapat Reezal adalah calon terbaik bagi DUN tersebut.