KULIM: Naib Presiden MIC, Datuk C. Sivarraajh yakin parti itu akan diberi peluang oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di sembilan kerusi Parlimen dan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut beliau, kesemua kerusi berkenaan merupakan kerusi tradisi yang diberikan BN kepada MIC dalam PRU sebelum ini.

Dalam masa sama, katanya, MIC juga berpeluang untuk diberikan beberapa lagi kerusi tambahan yang dilihat berpotensi untuk dimenangi berdasarkan tahap sokongan serta demografi penduduk di kawasan-kawasan terbabit.

"Saya percaya MIC akan diberi balik kerusi yang kita tanding secara tradisi dan kerusi lain yang saya rasa kita boleh menang, itu bergantung kepada kepimpinan (BN). Ini (merupakan) antara intipati perbincangan yang (sudah) berlaku dalam kepimpinan kita.

"(Secara) tradisi kita akan bertanding sembilan (kerusi) Parlimen dan 18 (kerusi) DUN dan kali ini kita akan kekalkan (kerusi itu) dan mungkin minta lebih kerusi yang kita rasa kita boleh menang,

"(Ini kerana) tak guna juga kalau minta kerusi banyak tapi tak boleh menang, (itu) pun rugi… sebab tak ada wakil daripada parti di peringkat kerajaan, itu salah satu faktor yang telah kami bincang dan diperhalusi di peringkat kepimpinan (untuk kita bertanding lagi banyak kerusi)," kata beliau.

Sivarraajh berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan sumbangan kepada penduduk di Padang Serai, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau yang juga Penyelaras Parlimen Padang Serai berkata, parti itu kini masih mendapat keyakinan dan sokongan dalam kalangan orang India khususnya membabitkan orang muda.

Wakil-wakil dari MIC juga, menurut beliau. dilihat mampu menjadi alternatif bagi menggantikan pimpinan Pakatan Harapan (PH) termasuk di Kedah sekiranya dipilih sebagai calon dalam PRU akan datang.

MIC kini mempunyai seorang wakil di Parlimen iaitu Menteri Sumber Manusia, M. Saravanan selain tiga wakil di DUN iaitu di DUN Kahang dan Tenggaroh, Johor serta DUN Jeram Padang, Negeri Sembilan.