ALOR SETAR: Seramai 6,041 pengundi membabitkan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) seluruh kontinjen Kedah melaksanakan undi awal dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, selesai membuang undi sekitar pukul 9.10 pagi.

Proses pengundian dijalankan di dua pusat pengundian bermula pukul 8 pagi dan akan berakhir 5 petang ini.

Menurut Wan Hassan, turut terlibat dalam undian awal ialah pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kulim, Batalion 2 PGA Bukit Kayu Hitam, Pasukan Polis Marin Langkawi serta Pusat Latihan Polis Langkawi dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,041 orang merangkumi 5,900 pegawai dan anggota polis manakala 141 orang adalah pasangan kepada anggota ataupun pegawai.

Beliau berkata, undi pos turut dijalankan bermula 5 November hingga 19 November ini dengan membabitkan 1,321 pengundi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan 843 orang diurus oleh pihak PDRM manakala selebihnya diuruskan oleh Pos Malaysia.

Sementara itu Wan Hassan memaklumkan, sepanjang tempoh berkempen PRU15 bermula 5 November sehingga 13 November lalu, pihaknya menerima 263 laporan polis berkaitan kesalahan pilihan raya.

“Antara 24 hinga 27 kes kita buka (kertas) siasatan dan ada empat tangkapan yang telah kita buat dan kes-kes ini pun kita telah rujuk kepada Pegawai Pendakwaraya Negeri (PPN)… kesalahan banyak berlaku khianat, ada yang khianat dengan api Seksyen 4A Akta Pilihan Raya, banyak berlaku bakar bendera, kerosakan (poster) calon koyak dan sebagainya, yang mana patutnya benda-benda ini tidak berlaku,” jelas beliau.

Wan Hassan berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Tunku Ibrahim, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Pilihan Raya 1954, Akta Komunikasi dan Multimedia dan Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Wan Hassan menyeru pihak penganjur ceramah berbaki empat hari lagi berkempen supaya membuat permohonan permit dan mematuhi semua peraturan berkempen.