RAUB: Strategi Barisan Nasional (BN) Pahang meletakkan muka baharu, Datuk Chong Sin Woon bertanding di Parlimen Raub dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kerana diyakini calon berkenaan mampu memberi kemenangan kepada BN.

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, calon yang  dikemukakan oleh MCA dan bertanding atas tiket BN itu sudah pastinya terdiri daripada calon boleh menang sekali gus mampu  memenangi hati pengundi. 

Menurutnya, tidak timbul juga isu muka baharu kerana Sin Woon mempunyai pengalaman luas dalam arena politik selain turut pernah memegang jawatan penting selaku Timbalan Menteri Pendidikan dari tahun 2015 hingga 2018.

"Soal muka baharu ini perkara biasa dalam politik dan kita (BN) juga mempunyai gabungan orang lama dan baharu. Sebagai contoh calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam iaitu Datuk Abdul Aziz Mat Kiram adalah orang lama dan beliau boleh membantu calon Parlimen yang merupakan muka baharu untuk sama-sama berkempen sekali gus membantu memberi kemenangan kepada BN pada PRU kali ini. 

"Selain itu, walaupun disifatkan muka baharu yang bertanding di Parlimen Raub tetapi  beliau (Sin Woon) merupakan seorang yang  berpengalaman luas kerana memegang jawatan penting termasuk dilantik menjadi Setiausaha Agung kepada Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Masyarakat DUN Batu Talam bertempat di Tapak Sehari Felda Tersang 3 di sini, hari ini. 



Gelanggang PRU15 sudah dibuka, untuk calon penuh klik di sini!

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, pengundi di Parlimen Raub seharusnya memberi kepercayaan kepada Sin Woon yang merupakan calon muda yang berkaliber selain turut dilihat mempunyai komitmen tinggi dalam memberi khidmat kepada penduduk setempat. 

"Sudah dua penggal Parlimen Raub tidak diwakili oleh BN dan lihat apa yang kita dapat? Mereka yang menjadi Ahli Parlimen di sini (wakil DAP) sampai masa lari ke tempat lain. 

"Cuba kita fikir kenapa perlu lari. Pertama, sebab  mereka takut kalah dan tidak buat kerja dengan baik sepanjang memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Raub," jelasnya. 

Dalam pada itu, Wan Rosdy yakin warga Felda akan terus memberi sokongan padu dan tidak berbelah bahagi kepada BN pada PRU15 kali ini. 

"Apa yang penting ialah rakyat akan melihat 'track record' dan imej kerajaan negeri yang sentiasa prihatin serta cakna terhadap kebajikan penduduk. 

"Kita ingin meneruskan kecemerlangan ini sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada PRU15 ini," katanya lagi.