IPOH: Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjadi orang pertama yang membuang undi di Sekolah Rendah Agama Rakyat Al-Ihtidaiyah, Tambun Height, di sini.

Beliau yang diiringi isteri, Datin Seri Nomee Ashikin Mohammed Radzi tiba di pusat mengundi itu kira-kira jam 7.55 pagi dan mengundi pada 8.05 pagi.

Ditemui selepas selesai mengundi, Ahmad Faizal berkata, selepas berkempen selama dua minggu, beliau yakin boleh menang.

"Saya berasa amat positif, setelah dua minggu berkempen, saya mendapati sokongan orang ramai seumpama terdapat satu gelombang untuk memberi sokongan kepada Perikatan Nasional.

“Ia sangat menggalakkan dan saya mendapati juga ia bukan sahaja di Parlimen Tambun, di seluruh negeri Perak, malah di seluruh negara, kita mendapat laporan-laporan yang sama,” katanya.

Selain Ahmad Faizal, yang juga penyandang, kerusi Parlimen Tambun menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Aminuddin Md Hanafiah (Barisan Nasional) dan Abdul Rahim Tahir (Pejuang).

Parlimen Tambun mempunyai 160,558 pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, meningkat 30 peratus berbanding 107,763 pada PRU14.