MACHANG: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob, menafikan menyalah guna kedudukan sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk meluluskan projek pembinaan sebuah masjid ketika menjawat jawatan itu.

Ahmad Jazlan menjelaskan, pembinaan masjid ArrRazak dengan kos hampir RM500,000 di atas tanah wakaf di Kampung Cherang, Bukit Tiu di sini, sebahagiannya menggunakan sumbangan orang ramai dan wangnya sendiri.

Katanya, hanya sebahagian kos menggunakan peruntukan diluluskan oleh KPLB iaitu sebanyak RM188,000.


"Masjid berkenaan sebenarnya bernilai hampir RM500,000. Peruntukan yang diluluskan oleh KPLB hanya 188,000. Jadi wang selebihnya bagi menampung projek pembinaan masjid itu saya gunakan wang peribadi, sumbangan dari ahli keluarga dan orang ramai.

"Dakwaan saya gunakan kedudukan sebagai Timbalan Menteri KPLB untuk bina masjid bernilai RM2.2 juta menggunakan peruntukan KPLB (sepenuhnya) adalah tidak tepat. Ia adalah satu fitnah  jahat di saat akhir kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Tuduhan itu menggunakan fakta salah serta mengelirukan," katanya pada satu sidang media, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas satu hantaran di laman sosial serta laporan polis yang dibuat oleh Ketua Armada Machang yang meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat dakwaan tersebut.

[LAPOR LANGSUNG] PRU15: 'Deklarasi Profesor Melayu G70 sokong Anwar' tidak wakili MPN - Ismail Sabri

SEMAK CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI


Menjelaskan lanjut, Ahmad Jazlan berkata, tanah tersebut dibeli atas nama isterinya kemudian ditukarkan status kepada tanah wakaf sebelum tahun 2014.

Masjid berkenaan kini turut digunakan pelajar tahfiz al-Quran Yakubiah dan penduduk setempat.

"Surat permohonan menyerahkan masjid itu kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dibuat sejak tahun 2014 lagi selepas masjid berkenaan siap dan pihak Maik menyatakan persetujuan pada 2020," katanya lagi.

Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Parlimen Machang, melahirkan kekesalan terhadap pihak yang menyebarkan tuduhan dan fitnah yang tidak berasas itu dengan melibatkan institusi agama dan pusat pengajian anak anak asnaf.