TASEK GELUGOR: Parti Amanah Negara (Amanah) berhasrat bertanding lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Presidennya Mohamad Sabu berkata, parti itu mahu mencapai kemenangan maksima, sekali gus menebus kekalahan di beberapa kerusi yang ditandingi sebelum ini.

Katanya, setakat ini pihaknya belum memutuskan jumlah sebenar kerusi yang akan ditandingi dan perundingan mengenai jumlah kerusi baharu saja dimulakan.

"Ia sedang dibincangkan lagi. Belum dapat apa-apa keputusan lagi. Hasrat kita setiap parti, kita nak bertanding banyak (kerusi).

"Tetapi, yang penting, kita nak capai kemenangan maksima. Kalau bertanding banyak pun nanti, kita hendak kita boleh menang. Itu paling penting," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Amanah Parlimen Tasek Gelugor di Sungai Dua, dekat sini, malam tadi.

Sementara itu, ditanya kemungkinan berlaku pertindihan kerusi sesama parti pembangkang pada PRU15 seperti ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tempoh hari, Mohamad berkata, perkara itu sebenarnya boleh diatasi.

Beliau berkata, perundingan mengenai kerusi kebiasaannya akan mengambil tempoh panjang dan berakhir menjelang hari mengundi.

Tegasnya, apa yang penting ketika ini adalah meyakinkan rakyat untuk keluar mengundi kerana peratusan keluar mengundi dua PRN Melaka dan Johor terdahulu amat rendah.

Pada PRU14, Amanah bertanding di 34 kawasan Parlimen dan 119 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sebanyak 11 kerusi Parlimen dimenangi Amanah membabitkan wakil rakyat dari Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka, Pahang dan Johor.

Amanah tidak mempunyai wakil di Kelantan, Terengganu, Perlis, Sabah dan Sarawak.

Sementara di peringkat Pulau Pinang, Pengerusi Amanah negeri Dr Roslan Ahmad berkata, pihaknya memutuskan untuk bertanding di dua kerusi Parlimen dan lima kerusi DUN pada PRU15 nanti.

Katanya, keputusan itu dipersetujui hasil perbincangan dengan sekretariat Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

"Jadi, malam ini kita melancarkan jentera di kawasan kita, yang mempunyai kelebihan kerusi terbanyak di Pulau Pinang.

"Kita harap, dengan pelancaran ini, akan mengobarkan semangat untuk kita siapkan jentera untuk hadapi PRU15, kata Roslan.

Menurut beliau, bagi kawasan Parlimen, kerusi yang akan ditandingi ialah Kepala Batas dan Tasek Gelugor.

Manakala lima kerusi DUN yang menjadi sasaran Amanah Pulau Pinang ialah Sungai Dua, Permatang Berangan, Penaga serta dua kerusi yang disandang parti itu ketika ini - Permatang Pasir dan Bayan Lepas.

Pada PRU14 lalu, Amanah  bertanding di kerusi Parlimen Kepala Batas dan tiga kerusi DUN iaitu Sungai Dua, Permatang Pasir dan Bayan Lepas.

Bagaimanapun, hanya kerusi DUN Permatang Pasir dan Bayan Lepas yang dimenangi mereka.