PUTRAJAYA: Pembangunan bandar pintar tidak seharusnya tertumpu kepada aspek teknologi dan pendigitalan, sebaliknya inovasi perlu dimanfaatkan bagi memenuhi keperluan serta kesejahteraan masyarakat, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Beliau berkata transformasi bandar yang sebenar hanya mampu dicapai apabila teknologi, dasar dan nilai kemanusiaan disepadukan bagi memenuhi keperluan sebenar masyarakat.
โKita mempunyai pendirian yang jelas. Bandar pintar perlu mengutamakan pembangunan bandar yang berpusatkan manusia. Teknologi bukanlah matlamat akhir sebaliknya berperanan sebagai pemudah cara dalam mewujudkan masyarakat yang lebih selamat, sihat, saksama dan selesa untuk didiami,โ katanya.
Nga berkata demikian dalam ucaptama pada majlis pembukaan Tomorrow.City Shanghai 2026, yang turut dikenali sebagai Ekspo Bandar Pintar Kongres Dunia Asia Pasifik pada Selasa.
Teks ucaptama itu dikongsikan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan hari ini.
Nga yang juga Presiden Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) berkata pendekatan Malaysia berteraskan kerangka nasional yang tersusun dan kerjasama antara pelbagai pihak termasuk Kerangka Bandar Pintar Malaysia dan penerapan piawaian antarabangsa bagi memperkukuh pembangunan bandar pintar di seluruh pihak berkuasa tempatan.
Beliau berkata Malaysia turut komited untuk memperkukuh kerjasama serantau dan perkongsian pengetahuan menerusi kerjasama dengan bandar-bandar antarabangsa, ekosistem teknologi serta pemain industri bagi mempercepat penerapan penyelesaian yang praktikal dan mampu diperluas.
Tomorrow.City Shanghai 2026 yang berlangsung dari 22 hingga 26 Sept merupakan wadah bagi menghubungkan bandar, kerajaan, perusahaan, ahli akademik dan pakar dalam mempercepat penerapan teknologi serta model inovastif secara paraktikal dalam usaha mentransformasikan bandar.
Pada acara itu, Nga menerima Anugerah Kepimpinan Bandar Pintar sebagai pengiktirafan atas usaha Malaysia dalam memacu transformasi bandar pintar, pembangunan lestari dan pelaksanaan penyelesaian bandar pintar.
Anugerah berkenaan mencerminkan usaha Malaysia memperkukuh pembangunan bandar pintar melalui gabungan teknologi, inovasi, tadbir urus bandar yang berkesan serta pendekatan berpusatkan rakyat bagi mewujudkan bandar yang lebih selamat, berdaya tahan, mampan dan selesa untuk didiami.
Sepanjang berada di Shanghai, Nga turut dijadual menyertai sesi temu bual media dan dialog peringkat tinggi selain menghadiri pertemuan tertutup bersama-sama pemimpin industri yang bermatlamat memudah cara keterlibatan secara langsung serta meneroka peluang kerjasama dan pembangunan projek yang boleh dilaksanakan.
-- BERNAMA