YAN: Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sekali lagi menegaskan bahawa dakwaan yang mengaitkan dirinya akan bertanding di Parlimen Sik sebagai satu ura-ura sahaja.

Beliau juga tidak membuat ulasan lanjut ketika menjawab soalan mengenai perkhabaran bahawa dirinya akan menjadi calon mewakili Pas dan Perikatan Nasional (PN) di Parlimen berkenaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

"Berkenaan dengan ura-ura (bertanding di Parlimen Sik), Itu ura-ura, nama pun ura-ura, jadi (ia hanya satu) ura-ura," katanya.

Takiyuddin berkata demikian ketika sidang media selepas Program Kesedaran Sistem Amaran Awal Aliran Puing di Titi Hayun, di sini pada Ahad.

Sebelum ini, beliau turut menafikan bahawa beliau bakal bertanding bagi Parlimen Sik, Kedah pada PRU15 nanti.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut tertanya-tanya terhadap pihak yang menyebarkan khabar angin itu yang mendakwanya akan bertanding di kawasan berkenaan.

Terdahulu, desas desus mengenai Takiyuddin akan bertanding di Sik bertiup kencang selepas Setiausaha Agung Pas itu dilihat kerap menganjurkan program di kawasan Parlimen berkenaan termasuk melibatkan jamuan hari raya Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Dalam PRU14, beliau menang di kerusi Parlimen Kota Bharu dengan majoriti 5,869 undi menewaskan calon dari Parti Keadilan Rakyat dan Barisan Nasional.

Sementara itu, di Parlimen Sik, calon Pas, Tarmizi Sulaiman turut menang dengan majoriti 5,218 undi, yang mana memperoleh 20,088 undi menewaskan Dr Mansor Abdul Rahman daripada Barisan Nasional (14,870 undi) dan Azli Che Uda daripada Parti Keadilan Rakyat (6,970 undi).