BERA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan keputusan untuk menghentikan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya berlaku banjir besar, tertakluk kepada bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ujarnya, persediaan bagaimanapun telah dilakukan lebih awal sebelum pembubaran Parlimen berlaku dengan melibatkan semua agensi di seluruh negara.

"Kita bersedia tetapi kalau berlaku banjir yang besar, sehinggakan tak membolehkan orang nak keluar (mengundi) sebagainya, maka saya akan berbincang dengan pihak SPR kalau ada alternatif lain," katanya.

Tambah Ismail Sabri, bagaimanapun sekiranya keadaan di luar jangka, maka perbincangan akan dijalankan dengan semua agensi terlibat.

"Kita akan bincanglah dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Jawatankuasa Pengurusan Bencana akan berbincang, tiada menteri yang terlibat kerana kerajaan caretaker.

"Mungkin saya akan panggil semua Setiausaha Kerajaan Negeri dan sebagainya untuk berbincang.

"SPR pun boleh beri pandangan, kalau SPR nak menghentikan pilihan raya itu terserah kepada SPR, kerana pilihan raya adalah keputusan SPR," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Kenduri Rakyat di Kemayan di sini pada Ahad.

Gelanggang PRU15 sudah dibuka, untuk calon penuh klik di sini!

MetMalaysia dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh akan bermula lebih awal daripada dijangka iaitu pada 7 November ini berlarutan sehingga Mac 2023.

Menurut Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah, jangkaan itu melibatkan empat hingga enam luruan monsun hujan lebat berpotensi banjir.