BAGAN DATUK: Barisan Nasional (BN) akan menampilkan 70 peratus muka-muka baharu bagi mewakili parti berkenaan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata muka baharu yang akan dipertandingkan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dibubarkan akan dipilih berdasarkan beberapa kriteria.

“Bagi calon Ahli Parlimen dan calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah dibubarkan, saya berazam 70 peratus akan terdiri daripada muka-muka baharu.

“Dan tentunya bukan mudah untuk memilih calon-calon berkenaan. Kita mahu menentukan calon untuk pengundi adalah calon-calon muka baharu yang mempunyai kaliber, mempunyai kelulusan akademik dan akhlak yang baik, serta mempunyai komitmen tinggi bagi membantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk, pada Ahad.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata daripada kesemua jumlah calon yang akan diketengahkan BN nanti, 30 peratus akan turut terdiri daripada sayap Wanita dan Puteri UMNO.

Selain terdiri daripada yang berjawatan seperti Exco di peringkat nasional, golongan wanita profesional juga berkemungkinan besar akan tersenarai sebagai calon BN pada PRU15.

Pada masa sama, beliau berkata Friends of BN juga akan diberikan ruang untuk bertanding mewakili parti itu pada PRU15.

Walau bagaimanapun katanya pembahagian peratusan kerusi untuk calon daripada Friends of BN akan dimuktamadkan selepas pembahagian kerusi untuk parti komponen teras BN selesai.

“Kita akan bertanding di 191 kerusi Parlimen yang mana selain calon-calon daripada UMNO dan parti komponen BN, kita akan ketengahkan juga calon daripada Friends of BN,” jelas beliau.

Friends of BN dianggotai Parti Makkal Sakti, Parti Cinta Malaysia (PCM), Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) dan Parti Punjabi Malaysia (PPM).