KOTA KINABALU: Gerakan Tanah Air (GTA) akan berusaha menggagalkan niat Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan selepas 19 November ini.

Pengasasnya, Dr Tun Mahathir Mohamad berkata ini kerana tujuan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen pada 10 Oktober dan mengadakan pilihan raya adalah semata-mata untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri, selain membebaskan Datuk Seri Najib Razak daripada hukuman penjara.

"Supaya Zahid dapat menjadi Perdana Menteri, dan apabila menjadi Perdana Menteri segala kesnya akan digugurkan.

"Bukan untuk negara, bukan untuk rakyat, bukan untuk pengundi tetapi untuk selamatkan diri mereka dari dipenjara.

"Sebab itu Gerakan Tanah Air akan menentang percubaan BN untuk jadi kerajaan," Dr Mahathir berkata.

Pada masa sama, mantan Perdana Menteri ke-4 dan 7 itu memberitahu, beliau turut mendapat maklumat mengenai kerjasama yang berlaku di antara Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Kerjasama itu, menurut beliau, bertujuan untuk menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri terlebih dahulu dan menggugurkan semua kes melibatkan Ahmad Zahid selain membebaskan Najib Razak.

Selepas itu, Ahmad Zahid akan mengambil semula jawatan tertinggi di Putrajaya itu daripada Anwar selepas bersih daripada segala tuduhan, kata Dr Mahathir.

"Kita dapat makluman bahawa Anwar sudah pun berbincang dengan Zahid Hamidi, maka mana antara mereka menang maka Anwar akan menjadi Perdana Menteri.

"Kenapa anwar akan jadi PM dan tidak Zahid? Kerana PM akan memohon kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk mengampun Najib Razak dan gugurkan segala kes yang masih ada terhadap Najib Razak.

"Selain daripada itu Anwar akan berusaha untuk menggugurkan tuduhan-tuduhan terhadap Zahid Hamidi, terhadap beberapa pemimpin-pemimpin BN dan semua kes-kes mereka akan dihapuskan.

"Sebab itu Zahid rela memberi tempat kepada Anwar dengan syarat Anwar membebaskan dirinya. Inilah sebabnya yang kita tidak boleh sokong parti Pakatan Harapan kerana mereka bekerjasama dengan Zahid untuk menyelamatkan Zahid dan juga Najib", tambah Dr Mahathir.