KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berpendapat Barisan Nasional (BN) lebih sesuai menjadi pembangkang selepas mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, ketika ini gabungan tersebut dilihat perlu fokus kepada agenda pembaharuan dan bukannya terganggu dengan usaha untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Beliau berkata, amat janggal untuk BN bersama dengan Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan campuran disebabkan perseteruan sejak sekian lama.

"Kita 'berperang' dengan PH dan PN bukan dua minggu. Tapi lama dan serius. Sebelum PRU15 pun sudah tidak stabil dengan situasi dalaman kerajaan campuran.

"Maka untuk sekarang terus bersama dengan mana-mana pihak amat janggal," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Ahad.

IKUTI PAUTAN INI: KEPUTUSAN PENUH PRU15

Pada Ahad, Shahril mengumumkan meletak jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO, susulan kekalahannya di kerusi Parlimen Alor Gajah.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menuntut Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur berikutan kekalahan teruk BN pada PRU15.

Dalam pada itu, Shahril berkata, jika BN terlibat dalam menyokong lantikan Perdana Menteri, parti itu tetap perlu menjadi pembangkang.