GOMBAK: Calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Barisan Nasional (BN) di Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin mengumumkan 19 resolusi memulihkan Parlimen itu yang juga menjadi manifestonya.

Menurut Megat Zulkarnain, beliau mengambil sedikit masa untuk menyediakan manifesto berkenaan memandangkan intipatinya diperoleh terus daripada rakyat.

“Resolusi itu (diperoleh) melalui siri-siri lawatan dan tempoh berkempen, sama ada ia dibuat di tempat-tempat awam, pasar pagi, pasar malam dan pertemuan secara berkelompok. Kita telah menggerakkan satu pasukan untuk menemubual, serta meminta pandangan rakyat.

“Akhirnya. inilah perkara yang kita perhalusi dan boleh kita laksanakan dan ada yang tidak boleh dilaksanakan,” katanya dalam sidang media pengumuman Resolusi Gombak, di sini, pada Rabu.

Megat Zulkarnain turut berkongsi aspirasinya untuk menempatkan anak-anak jati Gombak yang berkelayakan untuk memasuki Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebanyak 30 peratus.

“Ini merupakan impian saya nak lihat Gombak menjadi hab pendidikan kerana ramai yang tidak tahu sejarah penubuhan UIAM.

“Terbinanya UIAM di Gombak bukan satu perancangan yang dijadualkan. Ia terbina atas perjuangan orang Gombak untuk menghalang pembinaan empangan Gombak. Ia merupakan perjuangan empat bapa kami iaitu veteran kami,” tambahnya.

Selain itu, beliau juga mahu menyelesaikan permasalahan banjir di persekitaran Gombak yang masih tertangguh sehingga kini selain berhasrat membina rumah mampu milik di Parlimen itu.

Dalam masa sama, Megat Zulkarnain berkata, resolusi berkenaan bukan menjanjikan ‘bulan dan bintang’ kepada pengundi, sebaliknya, usaha yang boleh dilakukan.

“Kita tidak mahu hanya untuk meraih undi dan akhirnya segalanya tinggal janji semata-mata,” ujarnya lagi.

Resolusi berkenaan juga, katanya, merupakan komitmen BN khususnya dan bukan sekadar mewakili dirinya sebagai calon di Gombak.

Berikut 19 resolusi yang disenaraikan Megat Zulkarnain:

1. Berusaha menempatkan anak-anak jati Gombak yang berkelayakan untuk memasuki Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebanyak 30 peratus..

2. Berusaha menyediakan dana bantuan untuk anak-anak Gombak yang berkelayakan masuk IPTA/IPTS

3. Berusaha menyelesaikan permasalah banjir di persekitaran Parlimen Gombak yang masih tertangguh sehingga kini.

4. Berusaha untuk membina rumah mampu milik di Parlimen Gombak

5. Berusaha melakukan penyusunan semula Kampung Tradisi dan membaik pulih jalan di seluruh kawasan Parlimen Gombak.

6. Berusaha mewujudkan hab pelbagai sukan dan Pusat Rekreasi untuk generasi muda dan rakyat Gombak.

7. Berusaha memperjuangkan hak milik strata rumah bertingkat untuk semua warga Gombak di seluruh Parlimen Gombak yang telah tertangguh sekian lama.

8. Berusaha menjadikan seluruh masjid sebagai perkhidmatan tersusun kepada umat Islam di Gombak.

9. Berusaha membina penempatan transit kepada anak muda yang baru sahaja memulakan kehidupan perkahwinan.

10. Berusaha membina Pusat Komuniti Kebajikan Warga Emas dan Belia untuk kaum Tionghua dan India di Parlimen Gombak.

11. Mewujudkan pusat bimbingan untuk anak-anak sekolah rendah dan menengah agar dapat mengikuti kemahiran pembelajaran di samping memperkasa ilmu Matematik, Sains, dan Bahasa Inggeris secara percuma.

12. Berusaha memulihkan isu sistem pengaliran sungai Gombak dan sistem perparitan air yang berpanjangan serta bermasalah di kawasan Gombak yang tertangguh sekian lama.

13. Berusaha membina tapak IKS Gombak yang baharu bagi merangsang ekonomi anak muda khusus dalam dunia keusahawanan.

14. Berusaha membina sebuah hospital untuk rakyat Gombak serta persekitaran Parlimen Gombak.

15. Mengenal pasti tapak perniagaan Uptown tersusun untuk keterlibatan anak-anak muda dalam dunia usahawan.

16. Berusaha menyediakan pusat inkubator untuk new start-up usahawan-usahawan muda Gombak.

17. Mengangkat martabat kepimpinan kaum wanita serta penubuhan Akademi Kepimpinan Wanita.

18. Meningkatkan tahap keselamatan penduduk Gombak dengan penyediaan CCTV di kawasan hotspot dan berisiko tinggi.

19. Berusaha mengenal pasti tapak pelupusan sampah di Gombak yang tidak diendahkan.