SHAH ALAM: Parti DAP sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti asalkan prinsip dan matlamat parti tidak terjejas melalui kerjasama yang dijalinkan.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai menegaskan, dalam era pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), tidak mungkin lagi untuk mana-mana parti politik secara bersendirian, membentuk kerajaan.

Menurutnya, asas pembentukan kerajaan di Malaysia kini bergantung kepada rangka kerajaan campuran dengan kerjasama di antara beberapa parti.

“Kita hanya menerima parti-parti dengan ideologi politik yang sehala, parti yang memegang nilai-nilai yang serupa dengan kita dan yang paling penting sekali, kita menolak sebarang bentuk kerjasama dengan perasuah, pengkhianat, penyangak, dan juga katak politik.
 
“Tidak boleh dinafikan, Pakatan Harapan (PH) adalah model terbaik kerjasama gabungan politik yang berwibawa yang mampu untuk membela kebajikan rakyat, membawa budaya politik baharu untuk mengangkat Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi, dan juga untuk mempertahankan prinsip, nilai dan perjuangan parti kita,” katanya semasa menyampaikan ucapan aluan sempena Pembukaan Rasmi Kongres Kebangsaan DAP Ke-17 di sini hari ini.
 
Jelasnya, walaupun gabungan PH kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, beliau yakin bahawa kekalahan itu hanyalah satu halangan kecil yang mampu diatasi.

Dalam berhadapan cabaran PRU15, Ahli Parlimen Cheras itu menegaskan PH perlu menunjukkan kepada Barisan Nasional (BN) bahawa yang mereka tidak akan menyerah kalah.

“Perlu kita ingati, dalam dua tahun yang lepas, negara kita telah dilanda oleh satu demi satu krisis, daripada krisis kesihatan dan krisis ekonomi akibat wabak COVID-19, sehinggalah kepada krisis keyakinan yang disebabkan oleh dua kerajaan pintu belakang yang gagal dan tidak berguna.

“Kini, Malaysia sekali lagi menunjukkan tanda-tanda ke arah kegagalan. Kita tidak mahu melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang gagal.

“Kita perlu menawarkan sinar harapan kepada rakyat, kita perlu mendapatkan mandat untuk menyelamatkan Malaysia daripada terus terjunam ke arah kegagalan,” tegasnya.
 
Justeru, beliau melihat Malaysia memerlukan nafas baharu hasil solidariti yang lebih kuat di antara semua sekali gus memberi harapan baharu kepada PH dan rakyat Malaysia.