BERA: Datin Seri Muhaini Zainal Abidin seperti juga wanita lain yang sentiasa berdiri teguh di belakang suami untuk memberi sokongan moral pada perjuangan suami dalam apa sahaja bidang diceburi.

Kerana itu, pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini, Muhaini yang juga isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob setia mengiringi perjalanan suaminya pada hari yang amat penting ini.

Kata Muhaini, mulutnya tidak pernah lekang mendoakan perjalanan politik Ismail Sabri sentiasa dipermudahkan termasuk mencurahkan khidmat bakti kepada rakyat khususnya di Bera.

“Saya sentiasa doakan beliau dapat meneruskan cita-cita membantu rakyat di Bera. Saya sangat bersemangat untuk memberi sokongan moral kepada suami saya.

“Harapan sudah tentu saya mahu Datuk Seri Ismail Sabri berjaya memenangi kerusi Parlimen Bera untuk penggal kelima,” kata Muhaini kepada Astro AWANI ketika ditemui di pusat penamaan calon Parlimen Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, di sini, pada Sabtu.

Kata Muhaini lagi, beliau sentiasa memberikan sokongan semangat terhadap suaminya itu dan berharap kerusi Parlimen itu dapat dipertahankan pada PRU15.

Hadir sama memberi sokongan kepada Perdana Menteri di Bera ialah anak-anak beliau termasuk Datin Sabrina serta
Dafi yang juga artis terkenal.