GEORGE TOWN: Keputusan sama ada  Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri berjalan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diketahui secara rasmi esok (Jumaat).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, Pakatan Harapan (PH) negeri telah memberi hujahan terbaik dan menyatakan pendirian mengenai perkara berkenaan semasa mesyuarat Majlis Presiden PH semalam.

Beliau yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, secara hakikatnya mesyuarat PH Pusat telah memberi kesempatan dalam mendengar rayuan khususnya daripada DAP Pulau Pinang dalam usaha membawa isu berkenaan untuk dikaji semula pada mesyuarat PH.

"Kita sudah membawa 'best argument' kepada DAP Pusat untuk mengkaji semula keputusan untuk mengadakan pilihan raya serentak.

"Kita dapat menyakinkan DAP Pusat untuk membawa isu ini ke mesyuarat PH yang berlangsung pada semalam, saya pun ada hadir, dan seperti diumumkan selepas mesyuarat berkenaan kita akan tunggu pengumuman rasmi pada esok hari," kata Kon Yeow ketika ditemui media di sebuah hotel, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, ditanya mengenai apakah faktor yang menyebabkan DAP negeri itu mengubah pendirian mahu membubarkan DUN dan mengadakan PRU serentak, Kon Yeow berkata ia adalah disebabkan seruan rakyat selain memikirkan aspek kemudahan logistik kelak.

"Seruan daripada rakyat dan logistik lebih memudahkan sekiranya diadakan serentak. Memang diakui, ini faktor-faktonya, tapi kita tunggu lah esok," ujarnya.

Ditanya sama ada beliau kecewa dengan hasil mesyuarat tersebut, Kon Yeow berkata tiada apa yang perlu dikecewakan kerana belum dimuktamadkan lagi.

Pada Rabu, Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil memaklumkan Majlis Presiden PH sudah mendengar dan meneliti permohonan dibawa oleh pimpinan negeri Pulau Pinang untuk membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya negeri berjalan serentak dengan PRU15.

Katanya, keputusan mengenainya akan diketahui dalam masa 48 jam selepas mesyuarat dijalankan.

Jelasnya, buat masa ini keputusan tidak membubarkan DUN bagi dua lagi negeri ditadbir PH, iaitu Selangor dan Negeri Sembilan masih tidak berubah.