GEORGE TOWN: Parti komponen Perikatan Nasional (PN),  Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengumumkan akan bertanding di 18 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau memberitahu, lima daripada kerusi Parlimen itu akan dipertandingkan di Pulau Pinang, negeri yang pernah menjadi kubu kuat parti itu sebelum dirampas DAP pada 2008.

"Kali ini, kita (Gerakan) akan dapat lebih kerusi berbanding ketika bersama Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang mana ketika itu Gerakan hanya bertanding di 12 Parlimen dan 33 Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Setakat ini Parlimen kita ada 18 kerusi, tapi kalau adda perubahan, jangan salahkan saya," katanya pada sidang media pelancaran Bilik Gerakan PRU15 PN Bayan Baru di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut Dominic memberitahu, Gerakan kini berada di peringkat akhir penelitian senarai calon yang bakal ditampilkan pada PRU15.

Menurutnya setiap calon akan disaring termasuk dari aspek keselamatan, integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kelayakan sama ada mereka boleh diterima oleh rakyat setempat atau sebaliknya.

Beliau memberitahu, senarai-senarai calon akan dimumkan pada 30 Oktober ini secara serentak di semua negeri manakala manifesto PN akan diumumkan kepada rakyat pada 1 November depan. 

Dalam pada itu, Dominic turut mengesahkan parti itu akan menggunakan logo PN termasuk di Pulau Pinang ketika bertanding pada PRU15. 

Menurutnya, penggunaan logo PN itu telah dimuktamadkan dan tiada lagi perubahan mengenainya.

Beberapa bulan selepas kekalahan BN dalam PRU14, Gerakan mengumumkan keluar BN untuk menjadi sebuah parti bebas yang konstruktif.

Namun pada Februari tahun lalu, Gerakan menyertai gabungan PN.