SIBU: Hampir seribu penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) membanjiri perkarangan Pusat Penamaan Calon (PPC) Kompleks Islam Sibu bagi memberi semangat kepada calon GPS, Clarence Ting Ing Horh.

Penyokong tersebut disertai daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Nangka dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Palawan iaitu dua daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Sibu yang telah dimenangi GPS pada pilihan raya negeri lalu.

Laungan ‘Menang GPS’ dengan kibaran bendera putih berlogo GPS menenggelamkan bendera-bendera DAP dan PSB yang kedua-duanya berwarna merah dengan jumlah penyokong yang tidak begitu ramai.

Merangkap Pengerusi SUPP Cawangan Palawan, Clarence hadir di PPC pada jam 8.30 pagi bersama seorang pencadang Ting Tuen Huat  dan seorang penyokong Syed Hamzah Wan Hamid Edruce.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Sibu kembali mencatatkan pertembungan yang sengit tiga penjuru antara penyandangnya dari Parti Tindakan Demokratik (DAP), Oscar Ling, dan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Seri Wong Soon Koh.

Selaku penyandang sejak 2013, Oscar hadir pada jam 8.41 pagi bersama seorang Pencadang Irene Mary Chang dan seorang Penyokong iaitu isterinya Adeline Kiu.

Sementara pertembuangan bendera merah juga mengiringi Soon Koh yang hadir pada jam 8.45 pagi sebagai penutup kepada persaingan calon di Parlimen Sibu diiringi Pencadang Ting Hoong Hua dan penyokong Datuk Lau Ung Hie.

Parlimen Sibu kali ini mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 105,875 pemilih berdaftar berbanding lebih 74,000 pada PRU14, tahun 2018 lalu dengan lebih 65,000 adalah pengundi berbangsa Cina.

Komposisi ini merangkumi lebih 23,150 orang pengundi berusia antara 30 hingga 39 tahun dan 6,613 pengundi berusia 18 hingga 20 tahun.

Kawasan Parlimen Sibu mula dipertandingkan pada tahun 1978 pada PRU ke-5 yang dimenangi oleh bekas Presiden SUPP dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, mendiang Tan Sri Dr. Wong Soon Kai.

Bagaimanapun selepas sembilan kali pilihan raya umum, kawasan Parlimen Sibu berjaya ditakluki Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada tahun 1982, 2010, dan 2013 hingga kini.