KUALA NERANG: Sama ada berlaku atau tidak, dalam waktu terdekat ataupun lambat, hanya masa akan menentukan kerjasama membabitkan UMNO dan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Itu pendirian Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengulas mengenai tiga syarat yang diletakkan UMNO kepada Pas sebelum memulakan pintu rundingan baharu membabitkan kerjasama kedua-dua parti itu menjelang PRU15.

Menurutnya, sebarang keputusan yang dibuat mengenai kerjasama itu bagi menghadapi PRU15 bermatlamat demi kebaikan bersama.

Beliau turut menegaskan, UMNO kini memiliki dua pilihan untuk memasuki medan pentempuran bagi pilihan raya umum akan datang iaitu bergerak secara solo ataupun menerusi permuafakatan bersama Pas dalam MN.

"Masa akan menentukan (kerjasama UMNO dan Pas), sama ada segera ataupun ada lama sikit (tempohnya)… kalau dua tiga hari ini (akan berlaku), lima hari lagi atau seminggu lagi, apa-apa pun, masa-masa inilah (yang saya maksudkan), (sama ada) akan berlaku (atau tidak)," kata beliau.

Mahdzir berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada pelajar-pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) peringkat Parlimen Padang Terap di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Nerang, di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa sebarang keputusan yang akan dibuat kepimpinan UMNO adalah berdasarkan justifikasi keadaan semasa yang berlaku pada waktu kejadian.

"Justifikasi daripada apa benda yang berlaku di sekeliling itu diambil kira… sudah tentulah mengambil kira (semua percaturan politik semasa) sebab dalam mana-mana organisasi politik ini, mana-mana yang menjadi leader kepada mana-mana parti politik, dia punya ultimate aims yang akhir sekali adalah untuk menang dalam pilihan raya," kata Mahdzir lagi.

Pada Ahad, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan parti itu menetapkan tiga syarat utama mesti dipenuhi Pas, sebelum sebarang perundingan baharu untuk meneruskan kerjasama dengan parti itu menjelang PRU15.

Menurutnya, tiga syarat utama ditetapkan kepada Pas itu ialah keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) serta memutuskan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau berkata, Pas juga perlu mengisytiharkan secara rasmi bahawa parti itu sudah mufarakah (berpisah) sepenuhnya dengan PN dan Bersatu.