Skip to main content

Malaysia

16 kematian akibat lemas di Pahang tahun ini, orang ramai diingatkan waspada - Bomba

41753019679_tbGenericLemas.jpg
Keselamatan perlu diberi keutamaan ketika melakukan aktiviti berhampiran sungai, air terjun dan pantai susulan 16 kematian akibat lemas direkodkan di Pahang sepanjang tahun ini. - Gambar fail/hiasan
Advertisement

KUANTAN: Keselamatan perlu diberi keutamaan ketika melakukan aktiviti berhampiran sungai, air terjun dan pantai susulan 16 kematian akibat lemas direkodkan di Pahang sepanjang tahun ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah pematuhan terhadap papan tanda amaran serta larangan mandi di kawasan dikenal pasti berbahaya.

Beliau berkata pengunjung juga perlu berwaspada terhadap fenomena kepala air, khususnya ketika berada di kawasan air terjun, jeram dan sungai pedalaman.

"Setakat hari ini, 16 kes lemas direkodkan di seluruh negeri melibatkan 16 kematian dan kami ingin menasihati orang ramai supaya sentiasa mementingkan aspek keselamatan dan fahami risiko di kawasan rekreasi. 

"Jangan sesekali mandi di kawasan yang ditandakan dengan bendera merah atau papan amaran 'Dilarang Mandi'," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd Salahuddin berkata sekiranya ternampak individu dipercayai lemas, orang awam dinasihatkan jangan terus terjun ke dalam air jika tidak mempunyai kemahiran menyelamat. 

Sebaliknya, beliau berkata bantuan boleh diberikan menerusi konsep "Reach, Throw, Row, Go" dengan cuba mencapai mangsa menggunakan objek panjang seperti kayu atau galah (Reach), membaling objek terapung seperti pelampung (Throw), bot jika ada (Row) atau hubungi talian kecemasan 999 untuk menggerakkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) ke lokasi (Go). 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement