PETALING JAYA: Tiada sebarang kelibat ahli tertinggi Pakatan Harapan (PH) kelihatan di ibu pejabat PKR di sini, yang lazimnya menjadi lokasi sidang media gabungan parti itu.

Keadaan di luar bangunan itu nampak 'sepi' setakat jam 12.40 tengah hari tadi, berdasarkan tinjauan Astro AWANI.

Tidak kelihatan pemimpin parti termasuk Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tumpuan hari ini terarah pada rundingan kerjasama dengan mana-mana parti bagi membentuk sebuah kerajaan yang sah selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung semalam berkesudahan dengan Parlimen tergantung.

PH hanya memenangi 82 daripada keseluruhan 219 kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada PRU kali ini.

Untuk membentuk Kerajaan Persekutuan, PH perlu melengkapi sekurang-kurangnya 112 kerusi parlimen.

Ini sekali gus membuka ruang untuk PH memikat parti-parti lain untuk bergabung, khususnya di Sabah dan Sarawak.