IPOH: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa tidak layak menjadi Perdana Menteri sekiranya dua gabungan parti politik yang mereka wakili memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Demikian disuarakan Pengarah Pilihan Raya Pas Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah individu tepat untuk diangkat sebagai Perdana Menteri berbanding dua tokoh berkenaan.

Ini kerana, katanya, ketika ini Ismail Sabri didakwa sedang menghadapi masalah sokongan dalam kalangan ahli-ahli parti beliau.

“Anwar dan Ismail Sabri sudah ‘out of race’. (Ismail Sabri) nak jadi macam mana (perdana menteri), parti dia tak sokong dia.

"Katanya, dia jadi poster boy, Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) pun kata nak jadi poster boy. Khairy (Khairy Jamaluddin) pula kata, UMNO sudah rosak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah PN Best Tambun, yang dihadiri Pengerusi PN Kebangsaan, Muhyiddin serta Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, di Meru Raya dekat sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi  yang juga Menteri Besar Kedah menyifatkan kehadiran beliau ke program berkenaan sebagai mahu ‘menguburkan’ hasrat Anwar untuk menang di Parlimen Tambun pada PRU15.

Katanya, walaupun Muhyiddin dan Anwar masing-masing pernah menghadapi situasi dipecat daripada UMNO sebelum ini, namun dakwanya Muhyiddin dipecat ekoran menegur salah laku pemimpin sementara Anwar kerana masalah moral.

Malah Muhammad Sanusi mendakwa isu pengampunan diraja yang diperoleh Anwar bagi sabitan kes liwat pada tahun 2018 juga boleh dipertikai.

“Anwar bukan dipecat daripada UMNO kerana kes lawan penyelewengan, tetapi kerana isu moral dan akhlak," dakwanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri sebelum ini, negara memperuntukkan sejumlah dana yang besar bagi membantu rakyat berdepan situasi genting COVID-19.

Namun, katanya, tiada kes penyelewengan dan rasuah yang berlaku ketika itu baik dalam kalangan jemaah menteri mahupun syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Tidak ada parti yang boleh kemukakan manifesto yang prihatin, bersih dan stabil. Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah tidak masuk perlumbaan ini.

“(Manifesto) mereka tidak ada nilai selain daripada persepsi yang direka-reka daripada ayat-ayat yang hanya enak didengar sahaja,” dakwanya lagi.

SEMAK SEMUA CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI