BALIK PULAU: Bangga tempat kelahirannya jadi 'port' durian dalam kalangan pelancong tempatan dan luar, anak jati Balik Pulau Datuk Seri Johny Ch'ng Ewe Gee mengambil keputusan bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen itu dengan visi mahu Balik Pulau meriah sepanjang tahun.

Ch'ng, 50, atau lebih mesra disapa Johnny Musang King berkata beliau mahu menggalakkan lagi kemeriahan kawasan itu sebagai antara daya tarikan di Pulau Pinang sepanjang tahun dan bukan hanya apabila tiba musim buah-buahan.

"Balik Pulau mempunyai banyak tarikan selain durian. Kawasan ini mempunyai tanaman pokok pala, kelapa muda dan juga pokok Akasia yang mempunyai banyak kegunaannya," katanya dan menambah bahawa sekarang adalah masa yang sesuai untuk beliau berkhidmat di Balik Pulau sekiranya dipilih pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Saya lihat pelancong hanya singgah di Balik Pulau untuk menikmati buah-buahan atau makan laksa sahaja, lepas tu kawasan ini akan jadi lenggang. Saya tidak mahu pelancong hanya singgah sekejap, tetapi mereka haruslah menikmati keindahan yang Balik Pulau tawarkan," katanya kepada Bernama.

Ch'ng yang menggunakan logo Traktor bakal hadapi saingan enam penjuru di kerusi Parlimen Balik Pulau melibatkan penyandang Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Pakatan Harapan), Datuk Shah Headan Ayoob Shah (Barisan Nasional), Harris Idaham Rashid (Perikatan Nasional), Datuk Seri Sabaruddin Ahmad (Bebas) dan Ahmad Fazli Mohamad (Pejuang).


"Saya mahu rancakkan aktiviti di Balik Pulau sebagai tarikan sepanjang tahun. Ini secara tidak langsung dapat memberi kesan limpahan kepada penduduk setempat yang sumber ekonomi mereka adalah hasil daripada pertanian dan perikanan," kata Ch'ng.

Katanya beliau telah berkhidmat secara tidak langsung kepada penduduk setempat sejak 20 tahun yang lepas dan boleh dikatakan dalam seminggu, Ch'ng akan mendapat panggilan telefon antara tiga hingga empat kali daripada mereka yang memerlukan bantuan.

"Isteri saya pula akan berkata 'you lebih sibuk dari YB kenapa tak jadi YB terus?'. Saya menggangap itu adalah restu beliau (untuk bertanding)," katanya.

Ditanya mengapa beliau memilih untuk bertanding sebagai calon Bebas, Ch'ng berkata beliau memilih untuk bekerja secara individu, berbanding terikat kepada sesuatu parti yang lebih tertekan.

"Jika saya tidak boleh berkhidmat untuk seluruh Pulau Pinang, sekurang-kurangnya saya boleh berkhidmat dengan penduduk di kawasan saya," katanya.

Beliau juga menggesa anak muda di Balik Pulau agar tidak tergesa-gesa berhijrah ke bandar untuk mencari rezeki, sebaliknya terus menetap dan bekerja bersamanya untuk memajukan kawasan itu.

-- BERNAMA