SHAH ALAM: BN dan Perikatan Nasional (PN) dilihat mempunyai kelebihan untuk mendapat sokongan pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) berdasarkan perkembangan dalam tempoh seminggu kempen digerakkan yang mampu menaikkan mood pengundi.

Penyelidik Kanan O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi berkata, kempen melalui media sosial menjadi platform paling berkesan ketika ini dan kelebihan dijangka memihak kepada BN dan PN kerana lebih banyak menggunakan pendekatan kempen yang mengangkat tawaran parti.

Menurutnya, ia berbeza dengan PH yang lebih ketara menggunakan kempen yang menyerang lawan.

“Pertama sekali daripada sudut platform TikTok. Sebab TikTok memang menjadi platform utama berbanding Facebook dan Twitter yang menjadi tempat rujukan dan tempat kempen.

“BN dan PN dilihat banyak menggunakan imej-imej orang muda sebagi jurucakap kepada parti. Jadi pendekatan yang digunakan ni dapat menarik minat orang muda untuk lihat kempen-kempen mereka.

“PH pula kebanyakan mereka banyak buat siaran langsung apabila berkempen. Ini adalah satu pendekatan yang konvensional sebab yang lain berasaskan video.

"Kalau siaran langsung, sukar untuk orang tengok kempen dalam keadaan yang lama,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Tambah beliau, bagi kempen secara bersemuka, kelebihan juga dijangka memihak kepada BN dan PN khususnya daripada pengundi yang berusia.

“Kalau kita lihat daripada segi pola sokongan sebenarnya pengundi-pengundi berusia ni mereka lebih condong kepada BN kerana kelebihan kepada BN sebab mereka ni ada pengundi tradisi daripada penduduk setempat.

“PN pun dilihat berusaha keras untuk mendapatkan sokongan terutamanya daripada masyarakat luar bandar.

“Berbeza daripada PH lebih terikat atau mendapat sokongan daripada pengundi populis kebanyakannya pengikut media sosial,” katanya.

Jelas beliau lagi, pendekatan serangan terhadap lawan yang digunakan PH dijangka sukar untuk menentukan keberkesanannya kerana melibatkan pertandingan banyak kerusi membuatkan pengundi sukar untuk mendapat fokus yang jelas.

Apatah lagi ujarnya, kini pengundi tidak mengundi semata-mata atas emosi tetapi melihat kepada apa yang ditawarkan.

“Dalam tempoh seminggu ni sekiranya parti-parti politik ni ingin meningkatkan sokongan masing-masing sebenarnya mereka perlu menekankan apa agenda dan tawaran parti.

“Rakyat daripada pelbagai segmen akan lebih hargai dan terbuka untuk mendengar kempen-kempen tersebut berbanding serangan kepada lawan,” katanya. -Sinar Harian