SEREMBAN: Isu ekonomi setempat seperti kos sara hidup, harga barang serta permasalahan peniaga kecil sekitar Negeri Sembilan menjadi fokus dan agenda utama calon-calon yang bertanding dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mereka kali ini.

Persoalan bagaimana untuk memperbaiki sosio ekonomi rakyat itu kini menjadi antara modal untuk diketengahkan calon dalam menawarkan solusi kepada masyarakat.

Dalam kempen-kempen awal yang dijalankan setakat ini, beberapa calon termasuk yang mempunyai nama besar menjadikan pasar malam dan pasar harian sebagai ‘venue’ utama yang akan disinggahi untuk bertemu dengan lebih dekat dengan peniaga serta orang ramai yang mengunjungi lokasi berkenaan.

Astro AWANI turut mengikuti beberapa figura politik yang menjadi sebutan kebelakangan ini untuk menyaksikan lebih dekat pendekatan yang diambil dalam tempoh berkempen sejurus selesai proses penamaan calon semalam.

Rata-rata calon dilihat menggunakan modal berkempen dan lokasi terbabit yang dilihat lebih praktikal dan lebih menyeluruh dari sudut dua kelompok pengundi iaitu peniaga dan juga masyarakat.

“Ini adalah dasar. Itu sebabnya saya katakan tadi ini ekonomi, ekonomi keluarga ekonomi setempat, kita permudahkan. Jangan kita banyak letak rintangan-rintangan seperti birokrasi, nak minta lesen tujuh lapan bulan tak dapat.

“Yang pentingnya ialah kita sebagai kerajaan, kita membuat satu dasar dan satu keadaan dimana orang kata memudahkan, agar orang nak berniaga senang.

"Tak payahlah nak kena bayar permit (berniaga) RM10, RM20 setahun, berapa sangatlah yang kerajaan boleh dapat,” kata Datuk Seri Muhammad Hasan yang kini menjadi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Rembau pada PRU15 kali ini sewaktu membuat walkabout di pasar malam pekan Rembau pada Sabtu..\



Begitu juga dengan calon Pakatan Harapan (PH) di Port Dickson yang juga merupakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang awal pagi lagi sudah turun melawat pasar harian di kawasan itu hari ini.

Gelanggang PRU15 sudah dibuka, untuk calon penuh klik di sini!

Mendekati para peniaga di situ, sememangnya beliau akui banyak mendapat input yang perlu dalam menangani masalah kenaikan harga barang dan rantaian bekalan bahan mentah yang semakin sukar untuk diperolehi.

“Kalau kita lihat tadi ketidakcukupan telur, ayam, harga ayam yang masih tinggi. Ini antara beban yang ditanggung oleh masyarakat setempat dan kita sedia maklum ini satu perkara yang selepas ini perlu kita tangani dengan baik.

“Kita juga berharap selepas ini kempen-kempen dengan mengurangkan sedikit beban rakyat itu harus kita tumpukan dengan lebih serius,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Calon Port Dickson Datuk Seri Aminuddin Harun juga turut ke pasar mendekati pengundi. - Foto Astro AWANI

Malah aplikasi berbentuk ‘group WhatsApp’ membabitkan media juga dipenuhi dengan jadual lawatan kempen-kempen calon yang bertanding yang lebih menjurus ke arah naratif dan pendekatan tersebut.



Bagaimanapun selain pendekatan ini, tidak dinafikan jadual ceramah kempen seperti kelazimannya juga adalah antara yang wajib dan semestinya meriah setiap kali berlangsungnya pilihan raya umum seperti sebelumnya.

Apa yang penting tempoh berkempen sepanjang dua minggu ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh calon untuk memancing jiwa rakyat dan seterusnya mengotakan apa jua janji yang sudah ditaburkan mereka.