GOMBAK: Kenyataan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP telah menyinggung perasaan orang-orang Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Justeru itu, Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Azmin Ali berkata, kekalahan PH di dalam enam Pilihan Raya Kecil (PRK) ketika gabungan itu memerintah negara menggambarkan rakyat Malaysia tidak boleh lagi mempertahankan mereka.

Jelas Azmin yang merupakan calon PN di Parlimen Gombak, ini dibuktikan dengan beberapa tindakan oleh bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika PH mengambil alih tampuk kepimpinan negara sejak 2018.

"Di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) peruntukan siling pembangunan untuk Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), (sebuah unit di bawah Jabatan Perdana Menteri yang ditubuhkan untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera) telah ditetapkan RM2 bilion bermakna semua tahun agensi ini diperuntukkan RM400 juta.

"Sebelum Pilihan Raya 2018 sejumlah RM700 juta telah disalurkan kepada Teraju namun sebaik PH diberikan kuasa, peruntukan Teraju telah diberhentikan sama sekali maka saya telah bangkitkan perkara ini apabila Guan Eng bentangkan Belanjawan 2020 pada 2019 dan saya telah tulis surat kepada Perdana Menteri untuk maklumkan RM400 juta perlu diperuntukkan kepada Teraju bagi tahun 2020.

"Kerana ia dapat membantu lebih 10,000 Bumiputra dan 200 syarikat Bumiputera. Malangnya apa yang dibentangkan oleh Kementerian kewangan di bawah Guan Eng hanya berjumlah RM100 juta sahaja. Bagi saya, ini satu penafian hak untuk Bumiputra," katanya ketika ditemui pemberita di SMK Sg Pusu selepas proses penamaan calon, pada Sabtu.

Azmin yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Bersatu berkata, beliau enggan mengambil pendekatan bersifat rasis namun peruntukan harus disalurkan segera kepada syarikat Bumiputera untuk meneruskan perniagaan.

Azmin turut menyentuh mengenai peruntukan terhadap Kolej Tuanku Abdul Rahman (TAR) yang didakwa dihentikan peruntukan oleh Guan Eng.

"Begitu juga dengan peruntukkan Kolej TAR, Guan Eng dakwa ia diuruskan oleh MCA maka ia harus dihentikan. Tetapi yang menyalurkan semula peruntukan kepada Kolej TAR ialah Muhyiddin Yassin (Pengerusi PN).

"Kerana bukan soal kaum tetapi ini hak pendidikan merentas kaum tidak harus dipolitikkan oleh PH. Kita ada lagi banyak contoh sebab itu peluang telah diberikan kepada PH namun mereka gagal untuk memenuhi aspirasi rakyat, dan menjaga keharmonian," ujarnya.