SANDAKAN: Kerusi-kerusi tradisi Parlimen UMNO di Sabah lebih baik dikekalkan dan ditandingi oleh UMNO sendiri dalam Pilihan Paya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, perkataan kerusi tradisi sebenarnya sudah menjelaskan keputusan berkenaan dan ia harus diikuti.

“Perkataan pun tradisi kan, jadi kita ikut tradisilah yang bagus," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena majlis penyerahan keuntungan boleh agih akhir 2021 Fasa 2, projek peserta Felcra Berhad di Sandakan pada Ahad.

Menurutnya, setakat ini soal berkenaan belum dibincangkan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO secara khusus.

Namun katanya, perkara itu ada ditegaskan dalam Persidangan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini, dan bahawasanya UMNO akan kekal bertanding di semua kerusi parlimen tradisi.

“Secara khusus belum, kalau dalam PAU ada penegasan maknanya kita ada pertimbangan untuk pergi dalam pilihan raya.

"Jadi saya ingat itu orang semua sudah tahu apa keputusan PAU yang telah dibuat di Perhimpunan Agung,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan agar perkara berkenaan dibincangkan secara khusus di peringkat MKT UMNO.

Namun secara peribadi, Mahdzir berpendapat, kerusi-kerusi tradisi UMNO di Sabah perlu kekal ditandingi UMNO Sabah dalam PRU15.

Terdahulu, isu kerusi parlimen tradisi UMNO di Sabah hangat diperkatakan menjelang PRU15.

Ia berlaku selepas beberapa Ahli Parlimen UMNO yang bertindak keluar parti berkenaan dan menyertai parti lain sebelum ini.

Di Semenanjung, UMNO menegaskan mereka akan kekal bertanding di kerusi-kerusi tradisi tersebut.

Bagaimanapun, di Sabah ada pihak yang mahu perundingan dijalankan agar tiada pertembungan sesama sendiri dalam Gabungan Rakyat Sabah dan Barisan Nasional (GRS-BN) agar kerajaan ketika ini tidak tergugat.

Tetapi, ahli UMNO akar umbi mahu kerusi tradisi parlimen mereka kekal ditandingi dan Mahdzir senada dengan permintaan berkenaan.